KKM pastikan profesional perubatan kekal berkhidmat untuk negara
- Suara Keadilan

- Jul 13
- 1 min read

Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Kesihatan (KKM) terus komited memastikan tenaga doktor dan petugas kesihatan kekal berkhidmat dalam sistem kesihatan awam bagi memenuhi keperluan rakyat.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) berkata, pelbagai langkah telah dan sedang dilaksanakan untuk memastikan sektor kesihatan awam memiliki sumber manusia yang mencukupi, termasuk mempercepatkan proses pelantikan tetap bagi doktor kontrak.
"Hasrat kerajaan jelas — kita mahu doktor, jururawat dan petugas kesihatan yang mendapat latihan dalam negara kekal berkhidmat dalam sistem kita, demi memenuhi keperluan kritikal rakyat," katanya dipetik.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes 1.0 Peringkat Kebangsaan sempena Hari Denggi ASEAN 2025 di ibu negara, semalam.
Terdahulu, Dr Dzulkefly diminta mengulas laporan media mengenai hospital di Singapura yang giat menawarkan peluang pekerjaan bergaji lumayan kepada doktor Malaysia termasuk melalui sesi temu duga langsung yang diadakan di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu.
"Kita tidak mempunyai halangan terhadap perekrutan rentas sempadan kerana ia adalah hak individu. Ini juga selaras dengan Perjanjian Pengiktirafan Bersama (MRA) dan Perjanjian Rangka Kerja ASEAN mengenai Perkhidmatan (AFAS).
"Bagaimanapun kerajaan berusaha memperkukuh ekosistem pekerjaan sektor kesihatan awam supaya lebih ramai doktor dan petugas perubatan terus memilih untuk berbakti dalam negara," jelasnya.
Dalam isu sama, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, kementeriannya berusaha memastikan keseimbangan kerja dan kehidupan yang lebih baik dapat dinikmati doktor tempatan supaya mereka kekal dalam perkhidmatan.
Menurutnya, Isu-isu seperti ‘on-call’, kelelahan pegawai perubatan serta masalah buli di hospital sedang dibincangkan supaya dapat diselesaikan secara serius dan menyeluruh.
"Kerajaan Madani akan terus menangani isu ini dengan sokongan padu seluruh Kabinet yang akan sentiasa mengemukakan cadangan serta penyelesaian dari semasa ke semasa," ujarnya.









Comments