top of page

KKM pastikan perkhidmatan kesihatan kekal beroperasi sepanjang monsun

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Nov 24, 2025
  • 1 min read

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi jaminan akan memastikan perkhidmatan kesihatan awam akan kekal beroperasi sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL).


Kementerian itu memaklumkan, pihaknya telah menggerakkan Pelan Tindakan Komprehensif melalui Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bagi memastikan perkhidmatan berterusan dan kesediaan bantuan.


"Pelan tindakan merangkumi jaminan kesinambungan perkhidmatan, pergerakan pasukan perubatan kecemasan (EMT) dan kawalan kesihatan awam serta pemantauan di pusat pemindahan sementara (PPS).


"Fasiliti kesihatan primer dan hospital berada pada tahap kesiapsiagaan optimum, sementara fasiliti alternatif telah dikenal pasti bagi memastikan perkhidmatan kesihatan tidak terjejas sekiranya fasiliti utama mengalami gangguan banjir," jelas KKM.


Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) sebelum ini mengeluarkan amaran Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula pertengahan November dijangka berlarutan ke Mac 2026.


METMalaysia memaklumkan bahawa lima hingga tujuh episod hujan lebat berterusan dijangka berlaku sepanjang tempoh tersebut.


Sementara itu KKM memaklumkan, stok ubat-ubatan di fasiliti kesihatan adalah mencukupi sekurang-kurangnya untuk tiga bulan, dengan bekalan tambahan tersedia daripada pembekal konsesi.


Sebagai langkah kesiapsiagaan ketika MTL, semua JKN juga telah mengemaskini aset, peralatan, kenderaan, logistik dan pasukan perubatan kecemasan terdiri dari pelbagai pasukan sedia digerakkan pada bila-bila masa.


"Semua PPS yang dikenal pasti diperiksa lebih awal bagi menjamin aspek keselamatan, kebersihan dan kesesuaian lokasi sebelum diaktifkan.


"KKM akan meneruskan kerjasama rapat dengan agensi kerajaan lain bagi menyelaras bantuan dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan komuniti," tambah mereka.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page