
Kementerian Kesihatan (KKM) melaksana projek rintis pengesahan masalah ketajaman penglihatan dan pemberian kaca mata percuma kepada murid daripada kategori B40 dan M40.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dipetik laporan media berkata, pihaknya sentiasa memantau masalah ketajaman penglihatan murid sekolah melalui pemeriksaan oleh pasukan di bawah KKM.
Bagaimanapun menurutnya, terdapat sebahagian pelajar yang dirujuk untuk pembetulan ketajaman penglihatan masih tidak memakai cermin mata disebabkan faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan seperti kekangan ekonomi.
"Bagi menangani masalah ini, KKM melalui kerjasama awam-swasta, telah berganding bahu dengan KPM (Kementerian Pendidikan ) dan Optimax Eye Specialist Centre Sdn Bhd, untuk melaksanakan projek rintis pengesahan masalah ketajaman penglihatan dan pemberian kaca mata percuma.
"Projek rintis ini telah bermula sejak Ogos 2024 dan mengambil masa selama satu tahun, di 16 buah sekolah rendah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di Wilayah Persekutuan Putrajaya.
"Ia merangkumi murid Tahun 1 B40 & M40 dengan jumlah bilangan murid yang disaring 2,642 orang. Manakala bilangan murid yang layak 100 orang (3.8%)," katanya.
Dr Dzulkefly sebelumnya hadir ke Program Pemeriksaan Refraksi Dan Penajaan Pembetulan Ketajaman Penglihatan Kepada Murid Sekolah Rendah Tahun 1 Kategori B40 Dan M40 di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2), di Putrajaya pada Khamis.
Sementara itu Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang hadir ke program itu menyatakan sokongan penuh atas usaha tersebut.
Jelasnya, ia bukan sahaja memberi manfaat kepada murid dengan penglihatan yang lebih baik malah dapat membantu menangani isu keciciran pembelajaran.
Sebagai rekod KKM dan KPM merangka pelbagai inisiatif kesihatan secara bersama bagi kepentingan murid.
Ia antaranya Program Kesihatan Pergigian Sekolah (PKPS), Program Kesihatan Sekolah, Program Imunisasi Murid Sekolah, Program Hidangan Berkhasiat di Sekolah dan Program Minda Sihat Sekolah.
Usaha itu menurut Dr Dzulkefly sebagai mencerminkan nilai MADANI dengan memastikan usaha kesihatan dan pendidikan memberi manfaat jangka panjang (mampan), menjamin kesejahteraan rakyat secara menyeluruh (sejahtera), dan melibatkan pelbagai pihak tanpa mengira latar belakang (inklusif).
Comments