top of page

KKM kaji insentif baharu, kebenaran lokum tangani penghijrahan pakar

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
Aug 16
1 min read

Kementerian Kesihatan (KKM) sedang melaksana penelitian terhadap struktur ganjaran dan insentif baharu bagi mengekalkan pakar dalam sektor kesihatan awam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) berkata, KKM turut menggalakkan pembangunan profesional dan mengkaji kelonggaran sedia ada untuk melanjutkan tempoh untuk pakar kesihatan awam menjalankan tugas lokum di fasiliti swasta.


"Kita tidak boleh berjanji, tetapi kita sedang melihat kemungkinan untuk memberikan dua hari kepada mereka bagi menjalankan kerja locum di fasiliti swasta," katanya dipetik laporan media.


Beliau berkata begitu pada Majlis Konvokesyen Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Sabtu.


Dalam masa sama Dr Dzulkefly turut mengakui kerja syif berganda terpaksa dilaksanakan di banyak fasiliti kesihatan berikutan kekosongan lebih 10,000 jawatan kejururawatan di fasiliti KKM.


Sehubungan itu menurutnya, pendekatan lebih menyeluruh dan bersepadu sedang dirangka bagi menangani keletihan melampau serta beban kerja dalam kalangan petugas kesihatan.


"Kita melihat beberapa pendekatan lain dan berfikir di luar kotak. Sebagai contoh, pengurusan klinikal dan penjagaan bersepadu boleh dilaksanakan membabitkan klinik kesihatan dan hospital, termasuk perkongsian kepakaran serta tenaga jururawat," jelasnya.


Mengulas cadangan penempatan 560 pegawai perubatan tetap di Sabah pada Oktober ini, Dzulkefly berkata, KKM sedang memperkukuh mekanisme penyelarasan bagi memastikan proses penempatan dilaksanakan secara lebih sistematik, responsif dan berasaskan data.

"Isu sumber manusia, khususnya di Sabah dan Sarawak, bukan hanya berkaitan jumlah semata-mata, tetapi cabaran pengagihan mengikut lokasi, fasiliti, keperluan dan permintaan.


"Kita perlu mengenal pasti matriks sebenar keperluan di setiap fasiliti," tegasnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page