
Sebagai usaha menyelesaikan isu berkaitan doktor kontrak, Kementerian Kesihatan (KKM) akan menjalankan lebih banyak sesi libat urus bersama Gerakan Hartal Doktor Kontrak (HDK) pada masa hadapan.
Jurucakap HDK, Dr. Muhammad Yassin dipetik berkata jaminan itu diberikan sendiri Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dalam pertemuan semalam.
"Beliau (Dr Zaliha) memberi jaminan bahawa lebih banyak sesi libat urus akan diadakan bersama HDK dan kumpulan-kumpulan perkhidmatan kesihatan lain.
"Dr Zaliha juga mahu HDK menjadi orang tengah antara doktor kontrak, KKM dan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) yang dibentuk Kabinet," katanya.
Terdahulu, HDK yang diketuai Dr Muhammad turut menyampaikan memorandum kepada Dr Zaliha menerusi pertemuan yang berlangsung hampir sejam.
Pada pertemuan itu HDK membawa tiga gesaan dalam memorandum termasuk penyertaan wakil HDK dalam HLC, menyegerakaan penubuhan suruhanjaya dan melindungi kebajikan staf kesihatan kontrak di Malaysia.
Minggu lalu, sebuah kumpulan yang enggan dikenali tetapi menamakan tindakan mereka sebagai "Mogok Doktor Kontrak" mengajak doktor kontrak mengadakan protes selama tiga hari di seluruh negara dengan memohon cuti kecemasan atau meletak jawatan beramai-ramai.
Walau bagaimanapun tindakan mogok yang diuar-uarkan itu tidak mendapat sambutan apabila doktor kontrak meneruskan tugas mereka seperti biasa.
Dr Zaliha dalam satu kenyataan kemudian merakamkan penghargaan kepada golongan berkenaan yang disifatkannya mempunyai tahap profesionalisme tinggi apabila keutamaan pesakit melebihi kepentingan peribadi dengan menolak mogok yang dianjurkan.