Semua kemudahan perubatan dan kesihatan awam di seluruh negara akan ditambah baik, kata Dr Zaliha Mustafa.
Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri satu program sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Segamat, Zaliha berkata, usaha penambahbaikan itu kini antara fokus utama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Kita akan fokus pada tambah baik, meningkatkan fasiliti di hospital dan juga di pusat kesihatan atau fasiliti KKM termasuk di Sabah dan Sarawak.
"Setakat ini kita belum memikirkan pembinaan hospital baharu, yang masih dalam pembinaan, kita akan teruskan," jelas Zaliha yang juga merupakan Ahli Parlimen Sekijang.
Dipercayai keputusan itu dibuat setelah Zaliha sendiri membuat lawatan mengejut bagi melihat situasi sebenar dihadapi pengunjung kemudahan kesihatan awam kerajaan.
Sebelum ini Zaliha menarik perhatian ramai apabila membuat lawatan mengejut ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.
Melalui sekeping gambar yang tular, Zaliha yang berpakaian kasual dan berpelitup muka dilihat berbual dengan beberapa pesakit dan orang awam yang berada di ruang jabatan kecemasan hospital berkenaan.
Susulan pujian warganet di media sosial, seorang pegawai menteri kemudian menjelaskan kehadiran Zaliha adalah untuk mendapatkan maklum balas mereka tentang perkhidmatan terutama isu waktu menunggu yang lama di jabatan kecemasan.
Sementara itu, Zaliha ketika diminta mengulas mengenai situasi Covid-19 ketika ini berkata, situasi semasa masih terkawal.
KKM juga jelasnya tidak menjangkakan kenaikan mendadak kes Covid-19 ketika sambutan Tahun Baharu Cina minggu hadapan.
Bagaimanapun jelasnya, kementerian akan terus memantau secara rapat perkembangan kes seluruh negara setiap hari.
"Kita ada pengalaman dengan perayaan sebelum ini dan terakhir Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), walaupun kita jangka ada peningkatan tetapi tidak. Bagaimanapun, kita tetap berhati-hati,” katanya.
Sepanjang rangkuman 7 Januari - 13 Januari 2023, jumlah kes harian baharu adalah sebanyak 2,809 kes, susut sekitar 12 peratus berbanding 3,173 kes pada rangkuman mingguan 31 Disember 2022 hingga 6 Januari 2023.
Commentaires