top of page

KKM adakan pertemuan berkala selesai isu fasiliti hospital

Writer: Redzuan Shamsudin
Redzuan Shamsudin
Feb 8, 2023
1 min read


Pertemuan berkala antara Kementerian Kesihatan (KKM) dengan pengarah-pengarah hospital dan pihak berkepentingan akan diadakan.


Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dalam satu temu bual bersama media di Putrajaya berkata, pertemuan itu bagi mengenal pasti dan mencari penyelesaian terhadap pelbagai isu di fasiliti kesihatan yang diutarakan banyak pihak sebelum ini.


Mengulas lanjut mengenai usaha kementerian menyelesaikan isu antaranya kesesakan di Jabatan Kecemasan, Zaliha turut menjelaskan KKM sudah melaksana beberapa langkah dan sedang menunggu maklum balas mengenai keberkesanannya.


"Antara perkara pertama kita (KKM) nak buat ialah audit dan kita juga nak melihat keberkesanan beberapa perkara yang telah kita laksanakan contohnya waktu standard klinik kesihatan.


"Contohnya yang terbaharu di Hospital Klang (Hospital Tengku Ampuan Rahimah) mereka memastikan yang hadir ke Jabatan Kecemasan hanya pesakit yang betul-betul mengalami kecemasan (sementara) kes bukan kritikal disalurkan kepada klinik.


"Itu langkah yang mereka rasa terbaik untuk fasiliti mereka dan ini harus dibuat pertemuan berkala, pemantauan, kemudian tengok kesannya," katanya.


Zaliha pada Isnin menegaskan pihaknya fokus kepada usaha mengurangkan kesesakan di kemudahan kesihatan awam seluruh negara.


KKM juga mengambil maklum bebanan yang terpaksa dihadapi petugas serta pesakit terutama di Jabatan Kecemasan dan akan berusaha mengatasi masalah tersebut.


Sementara itu Zaliha memaklumkan, kementerian telah menghantar beberapa pegawai untuk turun ke lapangan bagi mengenal pasti situasi sebenar yang berlaku di hospital dan klinik kesihatan.


"Semua ini (maklum balas) akan dikumpulkan dan kita akan lihat apakah cara yang terbaik untuk mengatasi masalah berkaitan," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page