KKD lancar Pakej Rahmah Jalur Lebar RM69 sebulan
- Suara Keadilan
- Jul 29, 2023
- 2 min read

Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) pada Jumaat melancarkan Pakej Rahmah Jalur Lebar Tetap Allo yang menawarkan perkhidmatan internet kediaman pada harga rendah berbanding pasaran.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata Allo Technology Sdn Bhd menawarkan perkhidmatan internet pada harga RM69 sebulan berkelajuan 100 Mbps tanpa had data, penjimatan RM30 sebulan berbanding pakej semasa ditawarkan iaitu RM99.
"Seperti yang pernah saya katakan dulu, komitmen saya untuk memastikan rakyat Malaysia menikmati perkhidmatan internet yang baik tetap menjadi tumpuan utama.
"Melalui pelancaran ini, harga internet yang ditawarkan adalah RM69 sebulan, namun bukan untuk 30Mbps, tetapi untuk 100Mbps," katanya.
Pelancaran Pakej Rahmah Jalur Lebar Tetap Allo merupakan hasil kerjasama strategik antara Kementerian Komunikasi dan Digital dengan penyedia perkhidmatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Allo Technology Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB),
Rakyat Malaysia daripada kumpulan sasar seperti golongan B40, warga emas, veteran Angkatan Tentara Malaysia, Polis Diraja Malaysia, pesara Agensi Penguakuatsaan Maritim dan Orang Kurang Upaya, layak menikmati akses Internet tersebut.
Perkhidmatan itu akan meliputi kawasan bandar dan luar bandar bagi kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau Perumahan Awam (PA) di Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah yang mempunyai akses rangkaian liputan Allo.
"Kemudahan Internet kini tidak lagi dianggap sebagai satu kemewahan, ia sudah dianggap sebagai utiliti asas. Internet juga menjadi platform mencari rezeki, sama ada dari sudut peluang pekerjaan atau sebagai platform digital perniagaan bagi rakyat yang bergelar usahawan mikro.
"Inisiatif ini juga sejajar dengan hasrat kerajaan dalam mengurangkan kos sara hidup serta memastikan kesalinghubungan digital yang menyeluruh buat segenap lapisan masyarakat," katanya.
Sementara itu, Fahmi berkata, semua inisiatif Pakej Perpaduan telah dijenamakan sebagai Pakej Rahmah bagi memperingati inisiatif yang diperkenalkan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub semasa menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
"Perubahan tersebut selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada Selasa lepas supaya 'Rahmah' dijenamakan sebagai inisiatif nasional kepada kumpulan sasar B40," katanya lagi.
Comments