KKD kaji garis panduan keselamatan media sosial agensi kerajaan
- Suara Keadilan
- Mar 7, 2023
- 1 min read

Kerajaan sedang mengkaji kaedah kawal selia atau garis panduan untuk menjamin keselamatan aplikasi dan peranti diguna pakai penjawat awam, terutama anggota pentadbiran, kata Menteri Komunikasi dan Digital.
Fahmi Fadzil berkata, langkah itu adalah bagi menjamin kerahsiaan kerajaan terpelihara dari terdedah susulan penggunaan media sosial oleh penjawat awam.
Untuk itu jelasnya, Cyber Security Malaysia (CSM) telah diminta meneliti beberapa aspek penting berhubung isu keselamatan aplikasi media sosial yang digunakan di pejabat dan agensi kerajaan.
"Saya minta CSM teliti aspek keselamatan semua aplikasi media sosial kerana kita tidak mahu berlaku apa-apa pelanggaran terhadap Akta Rahsia Rasmi.
"Contohnya sering kali penjawat awam bertugas berdepan dengan keadaan iaitu dokumen yang dipegang bersifat terkelas. Jadi aspek keselamatan itu sangat penting.
"Kedua adalah dari segi membuat penggambaran (kandungan media sosial), adakah tempat itu dibenarkan atau tidak. Itulah antara beberapa perkara yang masih perlu diteliti," katanya.
Untuk merasionalkan cadangan itu, beliau berkata aplikasi seperti TikTok, Facebook dan media sosial lain di tempat kerja dikhuatiri secara tidak langsung mendedahkan perkara bersifat rahsia dan sensitif.
Sementara itu, ketika mengulas keputusan sesetengah negara yang telah mengetatkan aspek keselamatan penggunaan media sosial di agensi kerajaan Fahmi berkata, KKD akan mengkaji asas dan keputusan yang dibuat supaya ia dapat difahami untuk diaplikasikan dalam konteks Malaysia untuk menyediakan pilihan bersesuaian.
Comments