Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sedang mengenal pasti lokasi sesuai bagi pemasangan tiga unit peranti satelit Starlink di Sabah, kata Timbalan Menterinya Teo Nie Ching ketika ditemui pemberita selepas menghadiri tayangan filem Malbatt Misi Bakara di Kulai pada Ahad
Beliau berkata, pemasangan peranti itu dijangka akan memberi nilai tambah dari segi pencapaian internet di negeri berkenaan.
"Setakat ini, kita sudah memasang tujuh daripada 10 peranti satelit Starlink dengan dua satelit Starlink sudah dipasang di Bau dan Julau, Sarawak bulan ini.
"Untuk baki tiga peranti satelit ini, kita rancang untuk dipasang di Sabah dan sedang mengesan lokasi bertepatan untuk meletakkan peranti tersebut," katanya.
Sebelum ini, tujuh peranti Starlink telah dipasang di Selangor, Johor, Perak dan Negeri Sembilan bagi memberi kemudahan capaian internet di kawasan yang berdepan masalah liputan.
Ia hasil cetusan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini mahu menggunakan peranti itu bagi mengatasi masalah internet di insitusi pengajian tinggi yang kemudiannya diperluas ke kawasan yang memerlukan capaian internet.
Sementara itu Nie Ching turut memaklumkan, kementeriannya sedang berusaha untuk memperluaskan penggunaan dan pemakaian peranti tersebut termasuk ke kawasan pedalaman.
Katanya, kos bagi satu unit peranti Starlink berspesifikasi tinggi bernilai RM11,613 dan dapat berperanan sebagai WIFI Hotspot dengan jarak liputan kira-kira 100 meter bergantung kepada tempat pemasangan.
Comments