Kite4Palestine gesa Malaysia bertindak tegas secara diplomatik bela Palestin
- Suara Keadilan

- Jul 14
- 2 min read

Oleh: Almal Manaf
Dengan semangat solidariti yang membara, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah menganjurkan himpunan aman 'Kite4Palestine' di Padang Kota Lama, Pulau Pinang semalam bagi membela nasib rakyat Palestin yang terus bergelut dengan kekejaman tanpa noktah.
Menerusi satu kenyataan, kata mereka himpunan itu menyatukan keluarga, anak muda dan aktivis dalam satu aksi penuh makna sebagai tanda ingatan dan penentangan damai.
''Kanak-kanak di sini menerbangkan layang-layang yang membawa mesej harapan, kebebasan dan maruah saat kanak-kanak di Gaza sudah kehilangan langit untuk dinikmati.
''Kite4Palestine adalah sebahagian daripada gelombang solidariti global yang sedang bangkit dari seluruh pelusuk dunia.
''Ia merupakan maklum balas rakyat terhadap bencana kemanusiaan yang sedang berlaku secara terang-terangan dan satu tuntutan keadilan yang tidak lagi boleh diabaikan,'' kata kenyataan itu.
Selain Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), himpunan itu turut menerima sokongan daripada lebih 15 NGO yang lain termasuk Citizens International, MARHAEN Penang dan AMAL Relief Malaysia.
Dalam himpunan itu, lima tuntutan utama disuarakan bertujuan mahu menamatkan penderitaan rakyat Palestin khususnya di Gaza antaranya gencatan senjata kekal serta pelaksanaan embargo senjata antarabangsa yang mengikat terhadap Israel.
Tuntutan lain adalah penempatan pasukan perlindungan kemanusiaan antarabangsa ke Gaza di bawah mandat kecemasan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Selain itu, mereka juga menuntut agar penyaluran segera dan tanpa halangan untuk bantuan makanan, ubat-ubatan dan kemanusiaan ke Gaza.
Dalam kenyataan sama, NGO berkenaan turut menyeru seluruh masyarakat di negara agar tidak berpaling dalam terus menunjukkan solidariti terhadap rakyat Palestin yang ditindas.
Ujar mereka, Palestin bukan sekadar isu luar negara, tetapi ia adalah ukuran keberanian moral dan ujian terhadap kewarasan akal budi rakyat Malaysia merentasi kaum dan agama.
''Kami juga menggesa kerajaan Malaysia dan semua pemimpin dunia agar bertindak tegas melalui saluran diplomatik, ekonomi dan perundangan terhadap kekejaman rejim Israel, serta menjunjung dan menegakkan undang-undang antarabangsa.
''Setiap layang-layang yang diterbangkan hari ini membawa suara anak Gaza yang mahu terus hidup, tumbuh dan menikmati kehidupan.
''Kami ingin tegaskan di sini bahawa kami tidak akan berhenti selagi keadilan belum ditegakkan,'' katanya dengan nada tegas melambangkan penolakan terhadap sebarang bentuk kekejaman.









Comments