"Kitab mana dia baca, 1MDB sudah habis bayar?" - PM sangkal dakwaan hutang dilangsai


Datuk Seri Anwar menegaskan dakwaan bahawa semua hutang berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah dibayar adalah tidak tepat sebaliknya kerajaan masih perlu menanggung kewajipan pembayaran hutang berkenaan termasuk faedahnya.
Perdana Menteri berkata dakwaan bahawa keseluruhan hutang 1MDB telah diselesaikan tidak menggambarkan kedudukan sebenar liabiliti yang masih perlu ditanggung kerajaan.
"Ada yang menyatakan hutang 1MDB dah bayar semua. Saya tak tahu dia dari mana, kitab mana dia baca. Tak betul," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kewajipan membayar hutang lama perlu diambil kira dalam menilai kedudukan hutang negara, termasuk bayaran faedah yang masih perlu dijelaskan mengikut komitmen sedia ada.
Beliau berkata peningkatan jumlah hutang negara secara keseluruhan perlu difahami dalam konteks tanggungan terdahulu yang masih perlu dibayar dan bukannya dinilai berdasarkan jumlah hutang baharu semata-mata.
Perdana Menteri menegaskan bahawa kerajaan yang bertanggungjawab perlu membuat pinjaman hanya apabila diperlukan untuk mengurus negara di samping memastikan setiap keputusan kewangan tidak memindahkan beban yang berlebihan kepada generasi akan datang.
Katanya pengurusan hutang negara memerlukan disiplin fiskal, perancangan teliti serta kesediaan kerajaan untuk mengambil langkah yang perlu bagi memastikan kedudukan kewangan negara kekal terkawal.
Beliau turut menekankan kepentingan tatakelola yang baik dalam pengurusan kewangan awam, termasuk tekad politik untuk melaksanakan dasar fiskal secara bertanggungjawab.
Menurutnya, pelaksanaan Akta Tanggungjawab Fiskal merupakan antara langkah yang membolehkan kuasa kerajaan dalam pengurusan kewangan dipantau melalui mekanisme Parlimen.
Perdana Menteri berkata, usaha mengurus hutang negara juga perlu dilihat bersama keupayaan kerajaan mengurangkan defisit fiskal walaupun berdepan keadaan ekonomi global yang mencabar.
Beliau sebelum itu menjelaskan bahawa unjuran ekonomi kerajaan dibuat berdasarkan andaian tertentu, termasuk harga minyak sekitar AS$70 setong, sedangkan harga semasa yang disebut dalam ucapannya telah meningkat kepada sekitar AS$110 hingga AS$120 setong.
Katanya, perubahan keadaan ekonomi sedemikian meningkatkan cabaran pengurusan kewangan negara, sekali gus memerlukan kerajaan memastikan setiap komitmen perbelanjaan dan pembayaran hutang diurus secara berhemah.
Beliau menegaskan bahawa pengurusan hutang bukan sekadar berkaitan jumlah pinjaman, tetapi turut melibatkan kemampuan kerajaan memenuhi kewajipan sedia ada sambil memastikan keperluan pembangunan negara dan kebajikan rakyat terus diberikan perhatian.
Dewan Rakyat sebelum ini diberitahu bahawa Kerajaan Persekutuan telah membayar RM42.5 bilion bagi melunaskan hutang dan komitmen berkaitan 1MDB daripada keseluruhan obligasi berjumlah RM51.4 bilion yang perlu ditanggung sehingga 2039.
Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong dipetik sebagai berkata bayaran itu merangkumi prinsipal hutang, faedah, kos guaman, kos operasi serta komitmen lain berkaitan 1MDB.
Menurutnya kerajaan masih perlu melunaskan Sukuk Islamic Medium Term Notes yang dijamin kerajaan berjumlah RM8.9 bilion terdiri daripada RM5 bilion prinsipal dan RM3.9 bilion faedah yang akan matang pada 2039.
"Secara keseluruhan, tanggungan 1MDB yang telah dan masih perlu ditanggung kerajaan adalah sebanyak RM51.4 bilion," katanya.
Chin Tong berkata setakat ini kerajaan berjaya memperoleh semula RM31.3 bilion dana berkaitan 1MDB.
Bagaimanapun, sekiranya tiada lagi pemulangan dana pada masa hadapan, kerajaan masih perlu menanggung baki RM20.1 bilion daripada keseluruhan obligasi berkenaan, katanya.




Comments