
Pilihan Raya Negeri Johor diadakan semata mata untuk mempertahankan kuasa Umno BN dan bukan demi kestabilan pemerintahan negeri.
Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, kestabilan telah pun dicapai ketika Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Persekutuan menandatangani memorandum kerjasama (MoU) pada September tahun lalu.
Oleh itu, katanya, tidak ada halangan atau gugatan dari PH sebagai pembangkang utama di peringkat Persekutuan mahu pun negeri.
"Tak perlu pilihan raya, ketika MoU ditandatangani (tahun lepas) tujuannya untuk memastikan kestabilan kerajaan tidak terganggu gugat.
"Kita mahu pastikan Covid tidak menular dan ekonomi berjalan lancar. Kita tidak mahu gangguan. Di Johor tidak perlu pun bubar dewan.
"Kenapa nak pilihan raya? Kerana mereka tahu kuasa itu lebih besar daripada segalanya. Hari ini puluhan ribu dijangkiti Covid. Selesaikanlah dahulu masalah ini," katanya dalam ceramah di DUN Johor Lama malam tadi.
Menurut Abdullah Sani, pemerintahan PH selama 22 bulan di Johor dan Malaysia lebih baik daripada kerajaan BN - PN yang ada sekarang.
Katanya, pemimpin kerajaan yang mempersoalkan kelemahan 22 bulan PH memerintah seolah olah tidak mempunyai pancaindera untuk melihat kebaikan yang telah dilakukan.
"Ada pula pemimpin tertentu kata kita 22 bulan perintah janjikan bulan dan bintang. Ini betul betul celaka.
"Takkan kamu tak ada mata. Tabung Haji dapat diselamatkan, ayam dikawal dengan harga RM5.70 sekilo walau hari raya. Bila mana BN-PN ambil alih ayam melonjak hampir RM10 sekilo.
"Telur dulu sepapan RM8 sekarang RM12. Pasal apa? Kerana kawalan itu tidak dilakukan. Kalau dibiarkan menjadi bebanan kepada rakyat. Pembuangan perkerja hampir kepada 1.1 juta. Pelajar sekolah menengah, kolej ke mana hala tuju mereka.
"Tetapi mereka (BN) memilih untuk mengadakan pilihan raya.
"Mereka tidak fikir rakyat kecuali kuasa untuk merompak. Selepas ini akan merebak lagi ke negeri lain.
"Mereka lakukan kerana kerana takut kena tindakan mahkamah. Ini saja cerita dia," katanya.
Ahli Parlimen Kapar itu juga menempelak kempen yang memburuk burukkan calon DUN Johor Lama, Omar Mokhtar A Manap kononnya belum menamatkan pendidikan dan tidak layak menjadi Yang Berhormat.
"Kita ketengahkan anak muda yang ada ketrampilan. Ada yang kata dia umur tak sampai 30 tahun, belajar tak habis.
"Kalau bengap jangan tipu orang bengap. Dia ini telah habis belajar, telah kerja dan bakal ada anak. Apa masalahnya? Kamu takut kerana dia lebih bagus dari kamukah?
"Saya yakin calon kita ini mampu melaksanakan tugas dan tanggungajwab jika diberi kepercayaan," katanya lagi.