'Kita mahu wakil Datuk Seri Anwar berkhidmat di Tenom' - Mustapha Sakmud
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 1 min read

Penduduk Tenom, khususnya DUN N.42 Melalap seharusnya melantik wakil perdana menteri berkhidmat di DUN berkenaan.
Caranya, kata Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sabah, Datuk Mustapha Sakmud (gambar) ialah dengan memenangkan calon KEADILAN di DUN itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
"Kita mahu wakil dati Presiden (KEADILAN), wakil Datuk Seri Anwar berkhidmat di DUN di Tenom.
"Sebab kita ada presiden yang juga merupakan Perdana Menteri Malaysia. PM Datuk Seri Anwar ratingnya paling tinggi di Sabah berbanding yang lain," katanya pada majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya KEADILAN DUN Melalap, parlimen Tenom.
Mustapha dalam pada itu mengingatkan kepada penduduk Tenom, pelbagai kebaikan yang dibawa oleh Datuk Seri Anwar sejak menjawat Perdana Menteri Malaysia ke 10.
Malah, katanya, yang terbaharu rakyat tanpa mengira status menerima bantuan SARA RM100 bagi yang berumur 18 tahun.
"Diorang kata apa bagi RM100. Dia tidak tahu, kalau satu orang ada anak sepuluh sudah berapa? RM1,000.
"Orang Tenom ini RM100 itu berharga. Dia (bantuan) akan masuk melalui MyKad dan kita bawa kad pengenalan ke kedai runcit.
"Siapa dapat manfaat? Manfaat kepada peruncit kita. Jadi dia akan ligatkan putaran ekonomi. 31 Ogos ini kita sambut Hari Kebangsaan, kita boleh belanja," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mahu pengundi di Tenom membulatkan tekad untuk mengundi calon Pakatan Harapan dalam PRN akan datang.
"Kita mohon kepada semua orang Tenom bila bubar nanti, calon kita naik. Kita mohon untuk (undi) calon PH dari KEADILAN di Tenom," katanya.