top of page

'Kita boleh ada PETRONAS kuat peringkat nasional, PETROS kuat di Sarawak' - Roland

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
34 minutes ago
2 min read
Naib Presiden KEADILAN, Roland Engan
Naib Presiden KEADILAN, Roland Engan

'Pertikaian' peranan PETRONAS dan PETROS tidak wajar dilihat sebagai pertembungan antara kepentingan Sarawak dengan kepentingan Malaysia kerana kedua-duanya boleh diperkukuh menerusi kerjasama yang menghormati hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


Naib Presiden KEADILAN, Roland Engan berkata isu PETRONAS-PETROS perlu dilihat secara lebih luas dan tenang, bukan semata-mata berdasarkan saiz perniagaan atau kemungkinan kehilangan hasil, sebaliknya turut mengambil kira Perlembagaan, Perjanjian Malaysia (MA63), undang-undang sedia ada serta hak Sarawak.


Beliau berkata, mempertahankan hak Sarawak tidak bermaksud melemahkan Malaysia, manakala memperkukuh PETROS juga tidak bermakna mahu menggantikan atau melemahkan PETRONAS sebagai syarikat tenaga nasional.


"Saya percaya Malaysia tidak perlu memilih antara PETRONAS yang kuat dengan Sarawak yang kuat.


"Kita boleh mempunyai PETRONAS yang kuat di peringkat nasional dan antarabangsa, pada masa yang sama mempunyai PETROS yang lebih berkeupayaan di Sarawak.


"Kita boleh membangunkan industri hiliran, menarik pelaburan, mewujudkan lebih banyak pekerjaan bernilai tinggi untuk anak Sarawak dan boleh meningkatkan hasil negeri.


"Pada masa yang sama, kita boleh memastikan Malaysia terus mempunyai sebuah syarikat tenaga nasional yang berdaya saing di peringkat dunia," katanya menerusi kenyataan.


Sebagai pemimpin KEADILAN di negeri Bumi Kenyalang itu, Roland berkata beliau memilih pendekatan secara dialog, rundingan, undang-undang dan federalisme yang matang.


Katanya, beliau tidak melihat isu berkenaan sebagai ‘Sarawak lawan Malaysia’ atau ‘PETROS lawan PETRONAS’.


"Sebaliknya saya melihatnya sebagai satu peluang untuk kita memperbaiki hubungan Persekutuan dan negeri agar lebih seimbang, lebih matang dan lebih adil.


"Kita harus mempunyai keberanian untuk mengakui bahawa Malaysia telah berubah. Sarawak telah berkembang, PETROS telah berkembang dan PETRONAS juga mesti terus berkembang.


"Hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan Sarawak juga perlu berkembang selaras dengan semangat MA63. Jangan takut kepada Sarawak yang lebih kuat, jangan takut kepada PETROS yang lebih berkeupayaan dan jangan pula melemahkan PETRONAS.


"Sebaliknya, kukuhkan semuanya melalui kerjasama, keadilan dan perkongsian kemakmuran. Itulah Malaysia yang kita mahu bina," ujarnya lagi.


Kelmarin, Datuk Seri Zaid Ibrahim dipetik media sebagai menyangkal dakwaan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg bahawa pengukuhan peranan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) tidak akan melemahkan Petroliam Nasional Berhad (Petronas).


Zaid berkata, isu berkenaan bukan berkisar mengenai hak Sarawak untuk memperoleh manfaat lebih besar daripada sumber aslinya, sebaliknya bagaimana matlamat itu dicapai tanpa mengambil alih fungsi teras Petronas.


Dalam hantaran di media sosial, Zaid mendakwa Petros mahu mengambil alih peranan Petronas sebagai pengagregat gas di Sarawak iaitu fungsi penting dalam rantaian bekalan gas.


Menurut beliau, pengambilalihan fungsi tersebut berpotensi memberi kesan terhadap perniagaan dan hasil Petronas.


Beliau menganggarkan perniagaan gas Petronas di Sarawak bernilai sekitar RM10 bilion setahun, selain merujuk pertikaian membabitkan Shell yang menurutnya menyaksikan kira-kira RM80 juta sebulan dalam bayaran ditahan ketika timbul persoalan mengenai pihak yang berhak menerimanya.


Kenyataan Zaid itu menyusuli penegasan Abang Johari bahawa Petros tidak diwujudkan untuk ‘membunuh’ atau melemahkan Petronas.


Abang Johari berkata Sarawak akan terus bekerjasama dengan Petronas, pada masa sama membina keupayaan untuk memproses sumbernya di dalam negeri.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page