Gelombang hijau yang meningkatkan suhu perkauman diimport PN ke Johor akan ditentang oleh gelombang merah-biru mempertahankan hak rakyat berbilang kaum untuk hidup secara harmoni.
Calon Pilihan Raya Kecil P161 Pulai, Suhaizan Kaiat berkata demikian dalam ceramah Santai Orang Muda Kulai Bersama Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang menghimpunkan jentera Pemuda UMNO, malam tadi.
"Malam ini saya nak nyatakan kalau ada kalangan parti pembangkang kata ada gelombang hijau, saya nyatakan bahawa kita ada gelombang biru merah dari Johor.
"InshaAllah gelombang ini akan bergerak mempertahankan hak rakyat, menperjuang nasib rakyat dan memastikan negeri dan negara ini dalam keadaan cukup stabil dan membawa rahmah kepada seluruh manusia dalam negara," katanya di hadapan beberapa ratus anggota UMNO setempat.
Suhaizan berkata, kerjasama Pakatan Harapan dengan UMNO berjalan dengan begitu baik di Pulai, bukan sahaja di peringkat pemimpin negeri tetapi juga akar umbi.
"Sebelum ini saya bersama UMNO peringkat negeri telah adakan pertemuan dengan Datuk Khalid Nordin, dan buat pertama kali dalam sejarah saya dipimpin oleh Presiden UMNO dalam penamaan calon baru baru ini.
"Jadi saya cukup gembira, terharu dengan sokongan yang diberikan ini. Harapan kita satu, kerja kuat untuk pastikan sokongan yang kita lihat hari ini diterjemahkan dalam undi pada 9 September
"Kita yakinkan khususnya pengundi PH, kita yakinkan pengundi BN supaya mereka turun mengundi 9 September ini. Jangan selesa dengan apa yang ada.
"Kita mahu kemenangan di Pulai ini dengan majoriti meyakinkan. Itu sahaja cara kita buktikan bahawa kita mahu kestabilan dalam negeri dan negara," katanya lagi.
Comments