Kiraan bil elektrik: Pemimpin Pas 'keliru' kira penjimatan bil tarif baharu
- Suara Keadilan
- Jun 24
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir tampil memainkan peranan sebagai ‘guru matematik tidak rasmi’ apabila membetulkan pengiraan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari di media sosialnya berkaitan jumlah bil elektrik menggunakan kaedah pengiraan terbaharu diumumkan Suruhanjaya Tenaga (ST) baru-baru ini.
Dalam hantaran itu Akmal secara sinis meneliti angka-angka yang dikemukakan Ahmad Fadhli yang mengambil contoh penggunaan elektrik oleh sebuah keluarga dinamakan sebagai Pak Ali.
Selepas meneliti pengiraan itu, beliau terus menzahirkan 'rasa kecewa' dengan metodologi pengiraan dilakukan Ahli Parlimen Pasir Mas berkenaan.
''Saya kecewa dengan cara kiraan bil elektrik YB Fadhli Shaari. Tak mungkin Pak Ali yang menggunakan elektrik sebanyak 1,800 kWH hanya dicaj RM480.
''Disebabkan gaya YB Fadhli seperti tidak pernah membayar bil elektrik, jadi saya bantu beliau kirakan iaitu penggunaan elektrik 1,800 kWH akan dicaj RM1,167.87 dengan menggunakan tarif sedia ada,'' katanya di Facebook yang disambut hangat warga maya.

Hal itu antara intipati reaksi beliau terhadap dakwaan yang dibuat Fadhli mempersoalkan di manakah penjimatan elektrik kepada pengguna menggunakan kaedah baharu yang dikatakan boleh berjimat sehingga 19 peratus.
''Rasa nak tergelak bila baca jawapan netizen pro kerajaan bahawa bil elektrik akan turun turun 19%? Cakap ja la sedap. Tapi bila tengok bil kat tangan, rasa nak menangis.
''Kerajaan umum kononnya kos elektrik dah turun banyak. Tapi hakikatnya, rakyat tak rasa pun. Bil makin naik, bukan turun,'' dakwa Fadhli.
Disebabkan pengiraan Fadhli, Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru kemudiannya tampil mempersoalkan ketepatan pengiraan berkenaan.
''Saya tak sarankan YB Fadhli untuk bantu kirakan anggaran bil elektrik orang lain kerana kiraannya menyimpang jauh dan dikhuatiri menyebarkan 'ajaran sesat'.
''Sekali lagi saya sarankan untuk kita tidak terpengaruh dengan pemesongan yang cuba dilakukan oleh pembangkang, sebaliknya rujuk simulasi kiraan yang jitu sekali gus kita dapat juga merancang penggunaan tenaga yang cekap dan berhemah,'' kata Akmal lagi.
Terdahulu, Suruhanjaya Tenaga mengumumkan lebih 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung akan menikmati kadar elektrik yang lebih adil dan progresif menerusi pelaksanaan jadual tarif elektrik baharu yang telah diluluskan oleh kerajaan.
Menerusi kenyataan pada Jumaat, ST mengumumkan penetapan tarif itu akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025 hingga 31 Disember 2027 mengikut kerangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR), selaras dengan peruntukan Seksyen 26, Akta Bekalan Elektrik 1990.
Comments