Oleh: Abdullah Zaid
Koperasi KEADILAN Berhad (KIRA) melancarkan Program Rujukan Kira, Member2Member sebagai galakkan anggota parti terlibat dalam inisiatif mencari ahli baharu.
Pengerusi KIRA, Raiyan Abdul Rahim berkata, Program Rujukan Kira itu memberi tumpuan khusus untuk mendaftarkan lebih ramai ahli parti bagi meningkatkan penjualan syer koperasi.
"Melalui program Member2Member ini, ahli KIRA yang berjaya mendaftarkan rakan mereka sebagai ahli baru KIRA akan mendapat insentif syer koperasi bernilai RM10.
"Buat sementara waktu, permohonan insentif Member2Member ini akan diproses secara manual sementara KIRA menjalankan proses kemaskini terhadap Aplikasi Atas Talian (Apps) KIRA," katanya dalam satu kenyataan.
Justeru, Raiyan menyeru anggota akar umbi KEADILAN mengambil bahagian sebagai agen untuk mempromosikan inisiatif berkenaan selain dapat menjana pendapatan tambahan buat mereka.
Katanya, ahli KIRA yang berjaya mendaftarkan seorang ahli baharu akan diberi syer koperasi sebanyak RM10.
"Kami percaya setiap ahli KIRA mampu menjadi agen terbaik dalam membantu mempromosikan koperasi kepada masyarakat umum.
"Oleh itu, KIRA mengucapkan selamat maju jaya dan terima kasih kepada ahli KIRA yang berjaya menjadi agen promosi KIRA," ujarnya lagi.
Terdahulu, KIRA didaftar secara rasmi di bawah Akta Koperasi 1993 pada awal tahun ini oleh Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Penubuhan tersebut bertujuan membantu anggota parti yang menjadi anggota koperasi menjana pendapatan menerusi aktiviti perniagaan yang ditawarkan serta menjaga kebajikan anggota koperasi.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden KEADILAN Rafizi Ramli meletakkan beberapa sasaran untuk dicapai oleh koperasi mulai tahun hadapan.
Antaranya, melancarkan kedai KIRA dan pusat penjagaan serta asuhan kepada kanak-kanak.
Tambah Rafizi, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan untuk membuka perniagaan penjagaan orang tua selain berharap agar koperasi tersebuat dapat membuka peluang baharu kepada KEADILAN untuk berkhidmat kepada masyarakat.
Comments