
Perbuatan merosak, menconteng dan merobek poster kempen Pakatan Harapan (PH) dilaporkan berlaku di beberapa negeri yang sedang mengharungi 'demam pilihanraya' menjelang tarikh mengundi pada 12 Ogos.
Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat, Noraini Nordin berkata beberapa jenis poster telah dilapor dirosakkan, terutama poster wajah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berserta tulisan Malaysia Madani.
Sehubungan itu, beliau kesal dengan kejadian berkenaan dan menyifatkannya sebagai pengkhianatan terhadap bahan kempen oleh pihak yang terdesak serta tidak mampu menjawab ceramah dengan hujah.
"Ini suatu tindakan pengecut, berjiwa kecil dan tidak berani berdepan lawan secara sihat bersandarkan hujah lawan hujah untuk dinilai oleh pengundi.
"Wanita KEADILAN amat memandang serius dan mengutuk sekeras-kerasnya kejadian-kejadian tersebut, apatah lagi ia dikesan sudah berlaku di 6 negeri, walaupun kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ini baru saja memasuki hari ketiga.
"Dalam kempen pilihanraya, semua parti yang bertanding haruslah berlapang dada mendepani pertandingan secara sihat dan bermaruah kerana yang ingin dipilih ialah wakil rakyat untuk berkhidmat kepada pengundi serta pembentukan sebuah kerajaan yang diyakini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pemangku Ketua Penerangan Wanita KEADILAN itu juga tertanya tanya bagaimanakah bentuk kerajaan yang akan terhasil sekiranya perbuatan merosakkan bahan kempen itu adalah budaya pemimpin parti tertentu yang akan menjadi kerajaan selepas PRN ini.
"Apakah bentuk kerajaan yang akan terhasil nanti jika kemenangan diperolehi melalui elemen merosak, menconteng dan merobek poster lawan?
"Oleh itu Wanita KEADILAN mengajak pengundi di 6 negeri untuk menilai dan berfikir agar memilih parti yang benar-benar menjunjung nilai moral yang tinggi dalam PRN kali ini," katanya lagi.
Tegas beliau, hanya parti yang sedia berlawan secara bersih, menghormati lawan, selain meletakkan calon-calon yang berwibawa akan mampu menjadi Kerajaan Negeri yang baik dan layak diberikan undi.