
Kemungkinan Menteri Kesihatan Datuk Seri Khairy Jamaluddin (KJ) Abu Bakar tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 kerana kerusi selamat beliau di Rembau akan diserahkan kepada Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hassan menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan pemerhati politik.
Bagi Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin pengunduran Khairy dari PRU sekiranya terjadi merupakan kehilangan besar bagi Umno.
Katanya, hal itu terjadi tentu sekali kerana masalah dalaman parti dan cara Umno memilih calon pilihan raya.
"Seorang menteri yang berprestasi, seorang Ahli Parlimen yang telah berkhidmat selama 15 tahun. KJ mungkin digugurkan, tetapi anak Najib mungkin dipilih pula…
"Bro @Khairykj saya simpati untuk awak.
"Ini mendedahkan proses parti yang bermasalah dalam memilih calon.
"Memilih calon adalah sangat sensitif," katanya.
Menurut Sim lagi, proses dalaman untuk memilih calon ada pelbagai cara. Termasuk isu sama ada calon lelaki atau wanita yang boleh menang dalam sesuatu kawasan, dan akhirnya diserahkan kepada presiden parti sebagai kuasa pemutus.

Sesiapa yang menjawat presiden katanya, mempunyai kelebihan untuk menerima atau menggugurkan calon.
"Inilah sebabnya Zahid (Hamidi) bermatian-matian mahu menangguhkan pemilihan Umno sehingga selepas PRU15.
"Beliau mempunyai kuasa mutlak untuk memilih calon PRU 15," katanya.
Tambah Sim, tiada proses yang sempurna untuk memilih calon pilihan raya tetapi parti parti yang berhasrat memerintah negara perlulah menggunapakai kaedah standard yang boleh memuaskan hati rakyat dalam cara pemilihan calon mereka.
"Untuk demokrasi yang lebih matang dan pembangunan parti yang sihat, parti politik mesti membangunkan proses yang lebih telus dan adil dalam memilih calon," katanya lagi.