
Menteri Kesihatan Datuk Seri Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan, Putrajaya untuk mencabar keputusan kes saman fitnah oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim ke atasnya sedekad lalu.
Keputusan dibuat selepas panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Lee Swee Seng, Datuk Darryl Goon Siew Chye dan Datuk Ghazali Cha sebulat suara mengekalkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi pada 2017.
Hakim Darryl ketika membacakan penghakiman secara dalam talian berkata, panel mendapati tiada merit dalam rayuan Khairy malah ganti rugi yang diberikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi sebanyak RM150,000 kepada Anwar adalah tidak berlebihan.
Dalam pada itu mahkamah turut menolak rayuan Khairy terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi yang membatalkan permohonannya untuk meminda penyataan pembelaan bagi menyatakan bahawa kenyataan beliau itu adalah komen yang wajar, dengan kos sebanyak RM10,000.
Mahkamah Rayuan mendapati mahkamah sebelum itu tidak terkhilaf dalam membuat keputusan yang menolak permohonan Khairy.
Hakim juga menyatakan ucapan walaupun berbentuk kiasan dan dianggap biasa mampu memfitnah Anwar.
Commentaires