Khairat Darul Ehsan: Manfaat RM1,000 untuk warga emas, OKU
- Suara Keadilan
- 7 days ago
- 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor terus berusaha memastikan kebajikan rakyat di negeri itu sentiasa dipenuhi menerusi pelbagai inisiatif.
Antara inisiatif yang dilaksana ialah Skim Khairat Darul Ehsan (KDE) yang menawarkan manfaat bantuan kematian sebanyak RM1,000 kepada golongan warga emas dan orang kurang upaya (OKU) yang layak.
Pendaftaran awal bagi skim itu dibuka sejak 5 Mei lalu kepada penerima sedia ada program kebajikan negeri iaitu Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Iltizam Selangor Sihat (ISS) dan Skim Insurans Am Selangor (INSAN).
"Peserta SMUE, ISS dan INSAN berusia 50 tahun ke atas dan individu OKU perlu mengesahkan maklumat serta bersetuju menjadi ahli KDE melalui laman sesawang https://kde.yawas.com.my," kata EXCO kebajikan negeri Anfaal Saari.
Bantuan khairat kematian warga emas di bawah SMUE pernah dihentikan pada 2019 sebelum disambung semula pada 2021. Ketika itu, waris layak menerima RM500 dengan peruntukan sebanyak RM7.5 juta.
Pada pembentangan Belanjawan Selangor 2025, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan RM20 juta untuk pelaksanaan skim berkenaan dengan sasaran seramai 20,000 penerima.
Sementara itu menurut Anfaal, mereka yang bukan ahli bagi SMUE, ISS atau INSAN masih boleh memohon untuk menikmati skim yang disediakan Kerajaan Negeri itu.
Proses tapisan permohonan akan dikendalikan Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS), manakala bantuan dan maklumat lanjut boleh diperoleh di pusat khidmat Dewan Undangan Negeri atau talian hotline YAWAS.
"Mereka yang bukan ahli boleh membuat pendaftaran menerusi laman yang sama. Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) akan menyaring semua permohonan," katanya dipetik.
Comments