Oleh: Helmi Mohd Foad
Kerajaan bakal mengumumkan khabar gembira untuk dinikmati penjawat awam bagi tahun depan termasuk dalam soal gaji, kata Menteri Komunikasi dan Digital.
Beliau memberikan bayangan tersebut menyatakan pemberian yang turut bakal melibatkan pesara kerajaan bakal diumumkan Perdana Menteri atau Ketua Setiausaha Negara.
“Bagi mereka yang masih berkhidmat, pertama kita telah luluskan kertas putih Dasar Gaji Progresif bagi pekerja di sektor swasta, jadi bermula 2024 pelaksanaannya kita harap akan dapat memberi peningkatan pendapatan bagi pekerja sektor swasta.
“Pada masa sama bagi sektor awam, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah sebut sebelum ini kita ada mengkaji semula (skim gaji) dan menjelang 2024, insya-Allah gaji bagi penjawat awam akan naik,” kata Fahmi Fadzil selepas menyampaikan ucaptama pada forum Sistem Penyampaian Perkhidmatan Awam: Menjadikannya Lebih Cekap dan Berkesan anjuran Persatuan Alumni Pegawai Tadbir Diplomatik (Alumni PTD) di lnstitut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Kuala Lumpur hari ini.
Memetik laporan Bernama, Fahmi ketika berucap dalam forum itu berkata beliau difahamkan Kabinet telah mencapai beberapa keputusan yang membabitkan penjawat awam dan golongan pesara.
“...jadi akan ada berita baik pada 2024,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata kerajaan akan memastikan aspek keselamatan dan kesihatan awam dititikberatkan sepanjang penganjuran Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang akan berlangsung hujung minggu ini.
Beliau menjelaskan pihaknya mengikuti semua arahan dan nasihat Kementerian Kesihatan termasuk berhubung kes COVID-19 yang dilaporkan meningkat sejak kebelakangan ini.
“Waktu ini keadaan masih terkawal tapi penting saya nyatakan sebenarnya bagi program 8 hingga 10 Disember ini lebih bersifat pameran untuk rakyat datang dapatkan perkhidmatan dan mengetahui kejayaan yang telah diusahakan Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Sebanyak 102 perkhidmatan kerajaan dibawakan kepada rakyat di bawah satu bumbung sempena Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang akan berlangsung di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil pada 8 hingga 10 Disember ini.
Program itu bertujuan menyebarkan dasar-dasar kerajaan dengan lebih 200,000 pengunjung dijangka hadir sepanjang tiga hari penganjurannya.
Comments