top of page

Kg Sg Baru: Tanah diambilalih era PN, jangan main isu kerajaan zalim

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 9 minutes ago
  • 2 min read

ree

Oleh: Akmal Manaf


Pembangkang Perikatan Nasional diingatkan jangan memainkan isu pengambilan tanah dan pembangunan semula kawasan Kampung Sungai Baru di Kuala Lumpur digambarkan seolah olah Kerajaan Madani telah menzalimi rakyat.


Menurut Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Bryan Ng Yih Miin, isu pengosongan unit premis di kawasan itu yang dibantah oleh penduduk kelmarin merupakan legasi Kerajaan PN yang menggunakan Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960 pada 21 Jun 2021 lalu.


Beliau mengingatkan PN untuk tidak menunding jari kepada kerajaan sedia ada memandangkan kadar pampasan rendah yang diterima penduduk diputuskan ketika gabungan pembangkang itu masih berkuasa.


''Hakikatnya, isu ini bukan sekadar tentang pampasan, tetapi tentang kuasa Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT 1960), hak minoriti, dan bagaimana pembangunan bandar sering menindih komuniti tradisi.


Bryan Ng Yih Miin
Bryan Ng Yih Miin

''Jika kita menilai secara kronologi, hujah pembangkang terhadap kerajaan hari ini rapuh kerana rekod jelas menunjukkan asas kepada pengambilan paksa tanah adalah keputusan yang dibuat semasa era PN (2020–2022), bukan kerajaan sekarang,'' katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.


Beliau diminta mengulas mengenai tindakan PN yang 'buat buat lupa' bahawa pengambilan tanah ke atas pemilik hartanah yang tidak bersetuju dengan nilai pampasan telah dipaksakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Kerajaan PN, bukannya Kerajaan Perpaduan.


Dalam pada itu, Bryan Ng turut mengimbas kembali harga pampasan yang pernah ditawarkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2019 ketika mahu membangunkan Kampung Baru yang bersebelahan.


Ujarnya, tawaran Kerajaan PH ketika itu jauh lebih baik dan tidak bertindak menggunakan Akta Pengambilan Tanah.


''Pada 2019, ketika PH menawarkan pampasan RM850 satu kaki persegi dan selepas rundingan dinaikkan ke RM1,000 satu kaki persegi, pembangkang (Barisan Nasional dan Pas) menuduh ia sebagai 'merampas tanah Melayu' dan mendesak pampasan dinaikkan kepada RM3,000 satu kaki persegi," katanya.


Malang bagi Kampung Sungai Baru, kata Bryan Ng, apabila kerajaan bertukar tangan pihak PN telah membenarkan harga rendah serta menindas penduduk di kawasan tersebut.


''Selepas 'Langkah Sheraton', kerajaan PN menurunkan (nilai) pampasan itu kepada RM400 satu kaki persegi dan kemudiannya menggunakan APT 1960 untuk mengambil tanah secara paksa ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.


''Jadi apabila hari ini PN menyalahkan kerajaan semasa, ia bertentangan dengan tindakan mereka sendiri ketika berkuasa,'' sinisnya.


Untuk rekod, nilai pampasan kepada pemilik premis yang dikenakan APT 1960 adalah lebih rendah daripada nilai yang ditawarkan pemaju sebelumnya kerana akta berkenaan berasaskan nilai tanah semasa, bukannya nilai rundingan antara pemaju dan pemilik, yang biasanya dikira lebih tinggi berasaskan kerugian pemilik dan nilai masa depan hartanah.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page