top of page

Kg Sg Baru: Parlimen mungkin perlu perhalusi selesai isu undang undang - Hassan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Sep 16
  • 2 min read

ree

Isu operasi pengosongan premis penduduk Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur yang mencetuskan himpunan bantahan pada 11 September lalu masih belum selesai, terutama daripada sudut pentafsiran undang undang ke atas pengambilan tanah oleh kerajaan pada 2021.


Bagi Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim (gambar), isu perintah pengusiran kepada penduduk Kampung Sungai Baru seharusnya diteliti secara mendalam oleh Parlimen bagi memastikan prinsip keadilan dan Perlembagaan dipelihara.


Jelas beliau, kes tersebut mempunyai kemungkinan berlakunya kesilapan oleh mahkamah dan kecuaian kerajaan yang akhirnya menjejaskan hak penduduk.


"Mahkamah sama seperti Parlimen dan Badan Eksekutif yang kita panggil kerajaan tidak sunyi daripada membuat kesilapan.


"Sebab itu wujud prinsip kenegaraan yang dipanggil pemisahan kuasa antara tiga cabang iaitu Eksekutif, Parlimen dan Kehakiman," katanya dalam satu kenyataan.


Mengulas lanjut, Hassan menekankan beberapa isu yang wajar diperhalusi Parlimen, antaranya kesahihan pewartaan tanah tanah Kg Sungai Baru di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 ketika negara diisytiharkan darurat yang mana Parlimen Malaysia digantung dan Jemaah Menteri tidak bermesyuarat kerana Perintah Kawalan Pergerakan semasa wabak Covid-19, waktu itu.


"Parlimen (dalam hal ini) perlu meneliti dan menyemak Kanun Tanah Negara dibaca bersama dengan Kaedah-Kaedah Mahkamah. Adakah Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan berkenaan peruntukan melindungi dan menghormati harta benda rakyat seperti rumah dan tanah dipatuhi, sekiranya sekarang seperti yang berlaku di Kampung Sungai Baru satu Perintah ex-Parte (yang membawa kepada pengosongan kediaman) yang diberikan bukan oleh seorang Hakim Mahkamah Tinggi tetapi sebaliknya hanya oleh seorang Penolong Kanan Pendaftar mahkamah, memberikan legitimasi atau keabsahan untuk penduduk yang bukannya setinggan diusir dari rumahnya dan bangunan rumah mereka dirobohkan?" soal beliau.


Tambah Hassan, peranan Parlimen Malaysia adalah penting di bawah prinsip pemisahan kuasa untuk menyemak sama ada pihak Eksekutif atau kerajaan dan pihak Kehakiman atau mahkamah telah khilaf sehingga ketidakadilan ditanggung oleh penduduk Kg Sungai Baru.


Bagaimanapun Hassan yang juga Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya berkata, beliau tidak akan mengulas lanjut isu tersebut untuk mengelakkan didakwa sebagai subjudis kerana kes Kg Sungai Baru belum benar-benar selesai.


Katanya, wujud permohonan rayuan penduduk di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang akan didengar pada 3 Oktober depan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page