Kg Sg Baru: KEADILAN Putrajaya lapor polis pihak cetus provokasi di media sosial
- Suara Keadilan
- 22 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
KEADILAN Cabang Putrajaya hari ini membuat satu laporan polis terhadap individu dikenal pasti telah memuat naik kandungan berbentuk provokasi yang berpotensi mengancam ketenteraman awam dan memecah-belahkan masyarakat, khususnya melibatkan penduduk Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur.
Ketua Penerangan KEADILAN Cabang Putrajaya, Mohd Hafiz Osman berkata, pihaknya memandang serius penyebaran kenyataan berunsur hasutan dan provokasi keterlaluan di media sosial yang berkaitan dengan isu pembangunan semula kampung tersebut.
"Kenyataan-kenyataan yang disebarkan melalui platform sosial media seperti Tiktok jelas mengandungi unsur hasutan terhadap penduduk dan orang awam untuk bertindak melawan undang-undang.
"Terdapat juga tuduhan liar terhadap pemimpin dan pihak berkuasa tanpa asas fakta dan seruan untuk bertindak ganas terhadap sebarang tindakan penguatkuasaan.
"Selain itu, didapati terdapat cubaan mencetuskan kebencian dan ketakutan dalam kalangan masyarakat.
"Antara petikan yang dimuat naik ialah "Sekarang penceroboh sedang menceroboh tanah di Malaysia ni!". Kandungan sebegini amat membimbangkan kerana berpotensi mendorong kepada tindakan melanggar undang-undang, serta mengganggu usaha perbincangan dan penyelesaian yang sedang diusahakan oleh pelbagai pihak secara harmoni," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas membuat laporan polis di Balai Polis Presint 1, Putrajaya petang ini.
Mohd Hafiz berkata, pihaknya percaya kenyataan tersebut melanggar peruntukan undang-undang seperti Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, berkaitan kenyataan yang boleh mendatangkan ketakutan awam.
Selain itu, kenyataan tersebut kata Mohd Hafiz turut melanggar peruntukan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penyalahgunaan media sosial untuk menyebar kandungan tidak wajar.
"Sehubungan itu, kami menyeru pihak berkuasa, khususnya PDRM dan MCMC, agar menjalankan siasatan segera dan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan penyebaran lebih meluas kandungan yang boleh mengugat keamanan dan kestabilan awam.
"Kami ingin menegaskan sekali lagi bahawa KEADILAN Putrajaya komited untuk membela hak penduduk Kampung Sungai Baru melalui saluran yang sah dan rundingan yang adil dan bukan melalui provokasi atau hasutan.
"Sebarang perbezaan pandangan harus disuarakan secara bertanggungjawab dan berlandaskan fakta serta undang-undang negara," ujarnya lagi.