Kg Sg Baru: Annuar Musa perlu beri penjelasan isu pengambilan tanah - Syed Badli
- Suara Keadilan

- Sep 21
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PPKB) mencabar Mantan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa supaya tidak menjadi pemimpin pengecut.
Syed Badli Shah Syed Osman (gambar) yang juga Ketua Cabang KEADILAN Titiwangsa dalam kenyataan berkata, Annuar wajar tampil memberi penjelasan di atas kemelut yang melanda Kampung Sungai Baru.
"Annuar seharusnya mengambil rasa tanggungjawab kerana kelulusan pewartaan akta pengambilan tanah berlaku ketika beliau berkuasa.
"Adalah pengecut jika beliau terus mendiamkan diri sedangkan aktivis-aktivis pembangkang terus digerakkan untuk menyerang Kerajaan Madani dalam isu ini," katanya.
Syed Badli juga mahu penjelasan Annuar bagaimana Akta Pengambilan Tanah boleh diwartakan pada Jun 2021 sedangkan ketika itu negara masih berada dibawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan parlimen juga tidak bersidang.
Dalam kenyataan sama, Syed Badli turut membidas Shahidan yang sebelum ini menyatakan bahawa dia mahupun Menteri sebelum itu tidak mempunyai kuasa eksekutif dalam meluluskan pengambilalihan tanah Kampung Sungai Baru, kerana kuasa terletak pada Ketua Setiausaha Negara (KSN).
"Adalah agak pelik sekiranya Menteri tidak mengetahui tentang pewartaan ini. Setiap tindakan eksekutif tentunya terlebih lagi melibatkan pewartaan akta akan dilaporkan terlebih dahulu ke peringkat Menteri berkenaan untuk dibawa ke pengetahuan Kabinet.
"Bagaimana seorang Menteri boleh berlepas diri dengan menyalahkan eksekutif sedangkan eksekutif hanya menjalankan tugas tanpa boleh melangkaui kuasa Menteri," tegasnya.
Menerusi kenyataan tersebut, beliau menggesa pembangkang untuk berhenti menggunakan watak-watak tertentu dengan merekayasa naratif menyalahkan Kerajaan Madani dalam isu Kampung Sungai Baru.
Katanya, terbukti jelas kemelut berkenaan berpunca daripada tindak tanduk Menteri Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sewaktu mereka memerintah.









Comments