top of page

Kg Bunga Raya: Tidak Wajar Kerajaan Selangor Dipersalahkan



Oleh: Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil


ULASAN: Pertamanya seluruh lapisan masyarakat menyatakan kesedihan atas nasib yang menimpa penduduk di penempatan rumah panjang Kampung Bunga Raya Subang kerana penempatan tersebut telah dirobohkan oleh pihak pemaju. Namun perobohan tersebut dilakukan setelah proses perbincangan panjang dilakukan dengan beberapa tawaran diberikan sebagai alternatif untuk pertimbangan pemindahan penduduk kampung berkenaan.


Perkara utama yang perlu difahami bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat (PR), Pakatan Harapan (PH) atau MADANI di negeri Selangor bukanlah pihak yang bertanggungjawab menyebabkan 90 keluarga penghuni rumah panjang Kampung Bunga Raya itu gagal mendapat rumah yang dijanjikan, iaitu projek rumah kos rendah Pangsapuri Dahlia di Seksyen U5, Shah Alam semenjak tahun 1993.


Pemaju projek perumahan tersebut iaitu Tetuan Unique Creations Sdn Bhd mempunyai kekangan kewangan mengakibatkan projek Pangsapuri Dahlia terbengkalai. Projek tersebut telah diambil alih oleh pemaju penyelamat ECL Management Sdn. Bhd. namun pemaju tersebut turut gagal menyelesaikan hal-hal tanah dan pelan bangunan.


Isu warisan kerajaan sebelum


Keadaan lebih membebankan penduduk apabila mereka telah menandatangani perjanjian jual beli dan sebahagiannya telah membuat pinjaman bank untuk tujuan pembelian rumah kos rendah Pangsapuri Dahlia, namun akibat kecuaian pemaju maka projek tersebut tidak disiapkan dan hutang bank terpaksa ditanggung oleh penduduk rumah panjang Kampung Bunga Raya.


Kerajaan Pakatan Rakyat mula memerintah pada tahun 2008 dan mewarisi isu tersebut, perkara pertama yang dilakukan untuk membantu penduduk tersebut adalah Kerajaan PR melalui Lembaga Perumahan & Hartanah Selangor (LPHS) telah memohon kerjasama daripada Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) untuk mengambil alih projek Pangsapuri Dahlia untuk memulihkan projek tersebut.


Kerajaan PR juga memberi alternatif kepada penduduk untuk berpindah ke projek rumah kos rendah Pangsapuri Suria di Seksyen U4, Shah Alam. Namun kebanyakan penduduk menolak alternatif tersebut kerana ia melibatkan tambahan kos untuk membuat pembatalan perjanjian jual beli terdahulu dan membuat perjanjian pinjaman baharu.


Menurut laporan di dalam Dewan Undangan Negeri Selangor pada tahun 2019, pemilik tanah penempatan rumah panjang Kampung Bunga Raya Subang yang baru iaitu Dania Emas (M) Sdn. Bhd. telah menawarkan unit kediaman mampu milik yang terletak di PPRT Lembah Subang kepada penduduk yang terjejas, namun penduduk menolak tawaran tersebut dan enggan berpindah.


Akibat kegagalan perbincangan tersebut maka Dania Emas (M) Sdn. Bhd. telah membawa perkara tersebut ke mahkamah dan mereka berjaya mendapatkan perintah mahkamah untuk penduduk yang terlibat mengosongkan kediaman terbabit, namun penduduk masih enggan berpindah.


Kerajaan Selangor bantu selesai masalah


Isu ini akhirnya memuncak dengan peristiwa perobohan rumah penduduk Kampung Bunga Raya Subang pada Februari 2024. Pelbagai pihak cuba menuding jari kepada Kerajaan MADANI Negeri Selangor kerana tidak menghalang perobohan penempatan tersebut, namun perkara asas pertama yang perlu difahami bahawa proses perobohan tersebut dilakukan dengan kebenaran oleh pihak mahkamah.


Tidak mungkin Kerajaan Negeri boleh masuk campur atas keputusan yang telah diputuskan oleh mahkamah. Perkara asas kedua yang perlu difahami bahawa tanah yang terlibat merupakan milik persendirian pemaju iaitu Tetuan Dania Emas (M) Sdn. Bhd. dan mereka bertanggungjawab menyelesaikan isu penempatan ini.


Kerajaan Negeri hanya mampu membantu memberi alternatif kepada penyelesaian masalah tersebut, namun tanggungjawab utama terletak kepada pemaju. Justeru tidak masuk akal meletakkan kesalahan atau kegagalan pihak lain ke atas pundak Kerajaan MADANI Negeri Selangor.

________________________________________________________________________________

Penulis merupakan Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Selangor


0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page