Keyakinan rakyat terhadap PM Anwar meningkat - Merdeka Center
- Suara Keadilan
- Jun 24
- 2 min read

Keyakinan pengundi terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin meningkat apabila menerima kadar kelulusan 55 peratus daripada pengundi di negara ini.
Dapatan itu diperolehi menerusi satu kajian dijalankan pusat penilaian bebas Merdeka Center antara 12 hingga 23 Mei yang dilakukan bagi mengukur persepsi pengundi terhadap perkembangan semasa.
"Tahap ketidakpuasan hati terhadap kerajaan persekutuan menurun kepada 48 peratus berbanding 58 peratus setahun lalu," kata kajian itu dipetik.
Hasil kajian menyatakan, majoriti pengundi memberikan Anwar penilaian positif didorong persepsi bahawa negara kini berada di landasan yang lebih stabil dan ketidaktentuan politik telah reda.
Daripada segi ekonomi, ia didorong kadar inflasi yang menurun kepada hanya 1.4 peratus pada Mac lalu, iaitu paras terendah dalam tempoh tiga tahun.
"Pertumbuhan ekonomi mencatat 4.4 peratus pada suku pertama. Kenaikan gaji minimum kepada RM1,700, bantuan tunai perayaan kepada penjawat awam dan subsidi bahan api yang masih diteruskan membantu mengurangkan kekecewaan awam terhadap kos sara hidup.
"Walaupun cabaran kos sara hidup masih menjadi keutamaan pengundi, tiada kejutan harga selepas rasionalisasi subsidi diesel memberi keyakinan bahawa pentadbiran Anwar mampu mengurus perubahan dengan berhati-hati," kata hasil kajian itu.
Sejumlah 1,208 pengundi berdaftar terlibat dalam kajian dibiayai sepenuhnya melalui sumber kewangan dalaman pusat kajian itu. Responden dipilih berdasarkan pensampelan berstrata rawak mengikut kumpulan umur, etnik, jantina dan kawasan Dewan Undangan Negeri bagi mencerminkan profil pemilih kebangsaan.
Dalam pada itu hasil kajian turut menyatakan, rakyat turut berpuas hati terhadap peningkatan ketara imej negara di peringkat global, yang digerakkan melalui lawatan pemimpin antarabangsa, perjanjian pelaburan baharu dan peranan aktif Perdana Menteri dalam inisiatif serantau dan Selatan Global.
"Namun begitu, isu harian rakyat, bukan dasar luar atau ucapan antarabangsa tetap menjadi keutamaan utama rakyat Malaysia. Dengan kos harian yang semakin reda dan pekerjaan lebih terjamin, semakin ramai pengundi memberikan kepercayaan kepada perdana menteri dan kerajaan," tambah Merdeka Centre.
Commentaires