Kewujudan MADANI Mart langkah tepat bantu rakyat - Penganalisis ekonomi
- Suara Keadilan

- 3 hours ago
- 1 min read

Penganalisis ekonomi, Dr Zarinah Yusof menyifatkan usaha kerajaan mewujudkan MADANI Mart sebagai langkah tepat bagi membantu rakyat berdepan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Dipetik laporan media beliau berkata, inisiatif itu bukan sahaja relevan dengan keadaan semasa, malah mampu memberi manfaat kepada rakyat khususnya golongan yang terkesan dengan kos hidup yang semakin tinggi.
"Inisiatif ini juga membuka peluang kepada penduduk di kawasan luar bandar dan negeri lain untuk menikmati harga barangan lebih rendah tanpa perlu bergantung kepada lokasi tertentu sahaja.
"Dengan adanya lebih banyak MADANI Mart, lebih ramai golongan B40 berpeluang membeli barangan keperluan asas pada harga berpatutan, sekali gus membantu meringankan beban kewangan mereka," katanya dipetik.
Perdana Menteri pada Jumaat merasmikan MADANI Mart pertama di Indera Mahkota 8, Pahang sebagai antara inisiatif strategik kerajaan dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat serta menangani cabaran kos sara hidup secara menyeluruh.
Inisiatif MADANI Mart yang diterajui Yayasan MADANI adalah konsep kedai komuniti yang menyediakan barangan keperluan harian pada harga berpatutan dan mudah dicapai rakyat berteraskan slogan 'Kedai Runcit Harga Rahmah'.
Sementara itu menurut Dr Zarinah, kewujudan MADANI Mart juga secara tidak langsung mampu mengawal harga pasaran melalui peningkatan kesedaran pengguna terhadap perbezaan harga.
"Keadaan ini akan mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan peniaga dan membantu menstabilkan harga barangan keperluan.
"Dalam masa sama, pembukaan lebih banyak premis ini juga mampu mewujudkan peluang pekerjaan kepada orang ramai, terutama dalam sektor peruncitan," katanya.




Comments