
Pembongkaran kartel daging baru-baru ini bukan sahaja menunjukkan bahawa gejala rasuah berleluasa dalam kalangan pegawai kerajaan, tetapi membuktikan kerajaan gagal membanteras rasuah dengan berkesan selama ini.
Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan, Zahir Hassan berkata gejala rasuah itu dan kegagalan untuk menanganinya akhirnya memberi kesan besar kepada masyarakat.
"Berita "kartel daging" ini menggemparkan negara. Mereka beroperasi dengan cara merasuah pegawai tertinggi.
"Masalah rasuah ini membusuk, berakar umbi di setiap agensi, di setiap sistem negara. Dari pemimpin tertinggi negara sampailah ke pekerja am, rasuah berleluasa.
"Tak dapat dibayangkan, sudah berapa banyak daging tidak halal telah dimakan? Mungkin kita cuma membeli daging tempatan untuk dimasak di rumah, tetapi yakinkah kita tentang status daging di kedai makan?" soalnya.
Pada masa sama, Zahir menganggap kerajaan perlu bertindak membanteras rasuah secara besar-besaran sebelum ia menjadi lebih parah.
"Pengusaha kedai mereka akan mencari daging yang mempunyai logo halal pada harga yang murah, itu lumrah perniagaan.
"Soalannya, adakah kerajaan sekarang ada "political will" untuk membanteras rasuah besar-besaran? Rasuah jawatan GLC yang mempunyai bukti audio juga tidak disiasat, lalu bagaimana?
"Kita baru saja menyambut Hari Anti Rasuah Antarabangsa pada 9 Disember yang lalu. Tentunya kita mengimpikan negara yang bebas rasuah satu hari nanti.
"Ianya tidak mustahil. Semuanya bermula dengan tekad kita. Kerana rasuah meruntuhkan umat dan negara," katanya.