Kewarganegaraan pemain bola sepak ikut prosedur, syarat FIFA perkara lain
- Suara Keadilan

- Oct 9
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini tampil menjelaskan proses dan prosedur permohonan kewarganegaraan susulan isu yang dibangkitkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) baru-baru ini melibatkan tujuh pemain naturalisasi skuad bola sepak Harimau Malaya.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan Perkara 19, kerajaan dibenarkan untuk menimbang, memproses dan membuat keputusan tentang permohonan kewarganegaraan.
Beliau menjelaskan, bagi membuat keputusan di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan, terdapat tiga rukun utama yang mesti dipatuhi, antaranya pemohon mesti mengemukakan permohonan sendiri tanpa melalui ejen.
Tegas beliau, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak pernah menggunakan khidmat ejen dalam urusan permohonan kewarganegaraan.
''Pemohon juga perlu bermastautin di Malaysia dalam satu tempoh. Kedua, pemohon perlu berkelakuan baik maknanya bebas daripada soal keselamatan.
''Rukun ketiga pula adalah tentang pemahaman Bahasa Melayu yang mencukupi. Apabila kita menyemak perkara-perkara tersebut, ianya dipatuhi,'' katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Zakri Hassan (PN-Kangar) yang bertanya tentang statistik pemain yang telah dinaturalisasikan sejak 2018 hingga kini dan apakah kelayakan dan kriteria yang digunakan Kerajaan atau Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam proses penentuan seseorang pemain untuk dinaturalisasikan.
Menjelaskan lebih lanjut, Saifuddin berkata, permohonan kewarganegaraan diproses mengikut Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964, yang memerlukan pemohon mengisi Borang C serta mengemukakan dokumen termasuk pasport.
Katanya, semua syarat telah dipatuhi oleh pemohon, maka permohonan kewarganegaraan boleh diluluskan.
Berkenaan syarat FIFA pula, beliau berkata hal itu tiada kaitan dengan prosedur pemberian kewarganegaraan oleh KDN.
''Di sana ada satu perkara lagi iaitu Statut FIFA. Yang ini adalah urusan antara Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan FIFA.
''Statut FIFA menetapkan bahawa untuk seorang pemain mewakili sesebuah negara, pertama dia mesti lahir di negara tersebut. Kedua, ibu atau bapa pemain dilahirkan di negara tersebut (bagi 7 pemain ini).
''Ketiga, ialah datuk dan nenek pemain dilahirkan di negara tersebut.. maknanya di Malaysia atau keempat, pemain telah menetap secara berterusan di negara tersebut untuk tempoh tertentu.
"Jika mana-mana satu daripada syarat A, B, C atau D ini dipenuhi, maka pemain itu layak untuk mewakili negara dan didaftarkan dengan FIFA dan ianya adalah di bawah urusan FAM," jelas beliau lagi.
Saifuddin berkata, setakat ini sebanyak 23 permohonan kewarganegaraan telah diluluskan melibatkan individu yang menjadi pemain bola sepak negara, termasuk tujuh pemain terbaharu yang menjadi tumpuan.
Ujarnya, setiap pemohon hadir sendiri dan melalui proses yang teliti, termasuk pengambilan biometrik dan sesi temu bual sebelum permohonan diluluskan.
Beliau menambah, isu kelayakan pemain-pemain tersebut untuk mewakili negara di bawah peraturan FIFA merupakan urusan antara FAM dan badan induk dunia itu yang kini sedang diuruskan di peringkat rayuan dan sebagainya.









Comments