Kewarganegaraan automatik anak ibu warganegara dilaksana seawal Jun ini
- Suara Keadilan
- 33 minutes ago
- 1 min read

Pelaksanaan pemberian kewarganegaraan automatik kepada anak yang lahir di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia dijangka berkuat kuasa seawal Jun tahun ini, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata, pelaksanaan tersebut selaras dengan perancangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) susulan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan kewarganegaraan yang telah diluluskan Parlimen tahun lalu.
Menurutnya, kelewatan pelaksanaan adalah berpunca daripada beberapa persiapan penting yang perlu diselesaikan terlebih dahulu, termasuk pindaan Peraturan Kewarganegaraan Malaysia 1964 dalam dua versi bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
"Selepas semakan oleh Jabatan Peguam Negara selesai, kita perlu mempersiapkan dokumen serta borang berkaitan dan memaklumkan perkara ini kepada semua wakil Malaysia di luar negara.
"Seterusnya, proses perkenan dan pewartaan akan dilaksanakan," katanya dipetik.
Saifuddin menyifatkan perkembangan itu sebagai satu pencapaian besar Kerajaan MADANI dalam memastikan keadilan kepada ibu warganegara yang sebelum ini berdepan kesukaran mendapatkan status kewarganegaraan untuk anak mereka yang lahir di luar negara.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa proses membuat keputusan terhadap permohonan kewarganegaraan tidak pernah tergendala walaupun pindaan Perlembagaan sedang dilaksanakan.
"Bagi tahun 2025, sasaran kami adalah membuat keputusan terhadap 20,000 permohonan. Sehingga semalam (Rabu), saya telah membuat keputusan terhadap 20,032 permohonan, melepasi petunjuk prestasi utama (KPI) sebanyak 32 permohonan," katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa ketika mula memegang jawatan, hampir 50,000 permohonan tertunggak direkodkan, namun jumlah itu kini berjaya dikurangkan kepada kurang daripada 4,000 permohonan.
"Selepas ini, kita akan membuka lembaran baharu dengan pelaksanaan pindaan Perlembagaan berkaitan kelahiran di luar negara," tambahnya.





