Kewarganegaan anak: Tidak wajar kerajaan minta tangguh keputusan rayuan di mahkamah



Oleh: Aiman Athirah Sabu


ULASAN PIMPINAN: Pada 28 September 2021 yang lepas, saya bersama kepimpinan Wanita Pakatan Harapan (PH) telah menegaskan bahawa Kerajaan sewajarnya memberikan keutamaan kepada tindakan segera berkaitan isu-isu kritikal pengupayaan dan perlindungan wanita, kanak-kanak dan institusi keluarga khususnya dalam 4 tumpuan, dan salah satunya adalah berhubung perkara berikut :


"1. Ibu-ibu warganegara Malaysia yang melahirkan anak di luar negara diberikan hak yang sama dengan bapa warganegara Malaysia dalam penganugerahan kerakyatan kepada anak-anak mereka. Kerajaan dituntut agar segera menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memberi ibu status yang sama dengan bapa. Tiada erti laungan kosong ‘Keluarga Malaysia’ oleh Perdana Menteri jika beliau sendiri tidak berusaha untuk memastikan tafsiran undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan adalah dengan mengambil kira masa depan anak-anak Malaysia ini. Konsep ‘Keluarga Malaysia’ secara dasar harus berfokus kepada kesejahteraan dan kestabilan institusi keluarga dan bukannya untuk terus memisahkan anak-anak daripada pelukan ibu dan ayah mereka. Wanita Pakatan Harapan ingin mengingatkan Kerajaan ini bahawa adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk mendukung semangat Perlembagaan Persekutuan dan menegakkan kedaulatan undang-undang."


Tidak wajar mohon tangguh keputusan


Ini khususnya susulan hasrat kerajaan untuk membuat permohonan penangguhan keputusan dan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 September 2021 yang telah mengisytiharkan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia dan bapa warga asing secara automatik berhak mendapat kerakyatan Malaysia, sama seperti bapa warganegara Malaysia yang berkahwin dengan ibu warga asing.


Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Akhtar Tahir pada 9 September 2021 menerusi kes Suriani Kempe & Ors lwn Kerajaan Malaysia & Ors membuat keputusan untuk membenarkan anak-anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing berhak mendapat kerakyatan melalui kuat kuasa undang-undang, beliau telah memutuskan bahawa perkataan 'bapa' dalam Seksyen 1(b) mestilah dibaca termasuk ibu.


Beliau juga memutuskan Perkara 14(1)(b) bersama Seksyen 1(b) Perlembagaan Persekutuan mesti dibaca selaras dengan Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan yang melarang diskriminasi berasaskan jantina.


Mahkamah tafsir secara harmoni


Sebelum adanya keputusan tersebut, satu isu berpanjangan timbul dalam hukum kewarganegaraan Malaysia, yang melibatkan ibu warganegara yang berkahwin dengan bapa bukan warganegara. Isu ini timbul daripada penulisan dalam Jadual I dan II Bahagian Kedua, yang menggunakan istilah bapanya dalam peruntukan pewarisan kewarganegaraan anak baru lahir. Hal ini menyebabkan ibu-ibu terlibat perlu melakukan permohonan untuk memberikan taraf warganegara kepada anak-anak mereka; kebanyakannya ditolak.


Menjadi tugas mahkamah untuk mentafsir Perlembagaan Persekutuan dengan cara yang harmoni memandangkan rayuan itu melibatkan kanak-kanak dan keluarga. Justeru, keputusan Mahkamah Tinggi ini adalah bersandarkan kepada Perlembagaan Persekutuan dan juga selaras dengan Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) yang diratifikasi Malaysia pada tahun 1995.


Ia satu langkah yang amat progresif di dalam sistem perundangan Malaysia dan seharusnya disokong oleh semua pihak khususnya kerajaan kerana jelas di sini, penafsiran Perlembagaan sebelum ini adalah secara tidak langsung telah bersifat diskriminasi terhadap golongan wanita.


Malangnya, Kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Negara telah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu, dan memohon penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi.


Jangan panjangkan sensara anak anak


Walau bagaimanapun, pada 22 Disember 2021, Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Seri Kamaludin Md Said, dan turut sama adalah Hakim Datuk S Nantha Balan and Datuk See Mee membuat keputusan sebulat suara menolak permohonan penangguhan tersebut dengan penegasan yang jelas iaitu bahawa isu tersebut berkaitan hak kanak-kanak termasuk sesetengah yang sudah dinafikan hak mereka sejak 10 tahun lalu, dan bukannya satu perbicaraan membabitkan harta benda biasa (chattel).


Bahkan panel hakim juga menegaskan bahawa tidak terdapat keadaan luar biasa untuk mewajarkan arahan berkenaan keputusan Mahkamah Tinggi itu ditangguhkan sehingga selesai pendengaran rayuan (yang ditetapkan pada 23 Mac 2022), kerana ia akan memanjangkan lagi sengsara kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara dan terpaksa ditinggalkan setiap kali ibu mereka pulang ke Malaysia.


Kerajaan sepatutnya lebih peka dalam menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat. Kegagalan kerajaan menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu adalah sangat dikesali, bersifat regresif bahkan sekaligus mengundang diskriminasi terhadap warganegara wanita di Malaysia.


Kelmarin, 22 Jun 2022, panel hakim sepatutnya menyampaikan keputusan mereka terhadap rayuan kerajaan tetapi telah ditunda ke 5 Ogos 2022 susulan penghujahan lanjut perkara tambahan yang dibangkitkan oleh Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin yang mewakili kerajaan.


Dalam prosiding kelmarin, Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin yang mewakili kerajaan dilaporkan telah berkata bahawa pindaan pada 2001 kepada Perkara 8 (2) Perlembagaan Persekutuan untuk melarang diskriminasi jantina adalah tidak dibenarkan.


Sikap kerajaan mendukacitakan


Ini jelas adalah suatu hal yang sangat mengejutkan, mendukacitakan dan satu penghinaan oleh pihak kerajaan sendiri terhadap segala usaha yang telah diperjuangkan oleh wanita Malaysia sejak sekian lama khususnya dan wanita di seluruh dunia amnya.


Sekaligus persendaan kepada Parlimen Malaysia dan bakal mengheret negara ke kancah krisis Perlembagaan sekiranya tidak dihentikan.


Tindakan dan perkembangan terbaharu ini akan sekali lagi bakal meletakkan Malaysia tersohor di mata dunia, bukan dalam erti kata yang positif dan maju ke hadapan, tetapi sebaliknya sangat negatif dan jauh undur ke belakang!


Sikap berdiam diri Menteri Wanita dan anggota-anggota pentadbiran wanita khususnya dalam kabinet Malaysia adalah sangat mengecewakan, memualkan, sekaligus menzahirkan kebebalan dan kegagalan mereka untuk bersama-sama dengan perjuangan wanita Malaysia dan wanita di seluruh dunia.


Kedudukan negara di mata dunia merosot


Keadaan ini juga sekaligus mengesahkan sikap dan dasar kerajaan sendiri hakikatnya menjadi punca utama merosotnya kedudukan Malaysia dalam Global Gender Gap Report (GGGP) 2021, di mana kedudukan Malaysia semakin jatuh lapan anak tangga pada kedudukan ke 112 berbanding 104 pada 2020 dengan jumlah keseluruhan negara dinilai adalah 156 negara.


Kedudukan Malaysia kini di tangga ke 10 peringkat rantau Asia Tenggara, di belakang Filipina, Laos, Singapura, Thailand, Vietnam, Indonesia, Kemboja, Myanmar dan Brunei.


Selepas kerajaan dan para menteri sendiri gagal menzahirkan pembelaan terhadap wanita, semoga ada sinar yang akan dibawa oleh sistem kehakiman negara menjelang Ogos 2022 nanti.

_________________________________________________________________________________

Penulis merupakan Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara dan juga Ketua Wanita Pakatan Harapan

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER