Keutamaan menang kerusi Sabah demi kestabilan politik - AMK Sepitang
- Suara Keadilan

- 5 days ago
- 1 min read

KEADILAN Sabah kekal komited mempertahankan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan meskipun wujud perselisihan antara jentera Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di beberapa kawasan menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Sipitang, Ian Brian Francis (gambar) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya melihat pergeseran yang berlaku sebagai perkara yang dijangka dalam mana-mana kerjasama politik baharu.
"Ini adalah realiti dalam mana-mana kerjasama politik baharu, lebih-lebih lagi dalam gabungan besar seperti Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional dan negeri," katanya.
UMNO Bahagian Sipitang pada Jumaat memaklumkan tidak akan memberi sebarang kerjasama kepada calon PH di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin.
Dipetik laporan media, keputusan itu susulan Barisan Nasional (BN) DUN Sindumin tidak diberikan ruang untuk meletakkan calonnya di kerusi tersebut.
Sementara itu Ian Brian sebagai mengulas isu tersebut berkata, ia tidak dianggap sebagai satu krisis, sebaliknya sebahagian proses memurnikan kerjasama PH-BN agar kerangka politik baharu itu dapat berfungsi dengan lebih matang, tersusun dan efektif.
"KEADILAN menghormati keputusan UMNO Sipitang. Namun, kami yakin pergeseran ini boleh diselesaikan melalui saluran rundingan," tambahnya.
Beliau sementara itu turut menegaskan, keutamaan mereka adalah memastikan kemenangan calon yang mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Undangan Negeri Sabah selaras dengan usaha memperkukuh kestabilan politik negeri.
"Semangat untuk memastikan kemenangan calon Kerajaan Perpaduan jauh lebih besar daripada apa-apa pergeseran taktikal di lapangan.
"Kami kekal utuh dalam mempertahankan kerjasama Kerajaan MADANI sebagai tunjang kestabilan politik negeri, dan yakin kematangan politik akan mengatasi sebarang isu jangka pendek," tambahnya.









Comments