'Ketuk' setiap hati pengundi wanita - Fadhlina
- Suara Keadilan
- Sep 3, 2023
- 1 min read

Oleh: Noraini Nordin
Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Fadhlina Sidek mahu setiap hati pengundi wanita 'diketuk' agar mereka terus memilih calon Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai, 9 September ini.
Menurut beliau, adalah penting usaha seperti itu terus dilakukan untuk meyakinkan mereka mengundi calon yang mewakili kerajaan sedia ada.
"Pengundi wanita di Johor ini ada rekod bahawa mereka hanya mengundi calon parti yang biasa mereka pilih sebelum ini.
"Yakinkan mereka bahawa peluang dan ruang yang lebih hanyalah ada bersama Kerajaan Perpaduan ini.
"Dengan itu, pastikan mereka sentiasa bersama PH-BN," katanya ketika berucap dalam Himpunan Wanita Perpaduan Johor, di sini .
Fadhlina yang juga Menteri Pendidikan turut menekankan tentang tiga tokoh pemikir dan penulis yang penting di Johor iaitu Tun Seri Lanang, Raja Ali Haji dan Sasterawan Negara Usman Awang.
Jelas beliau, Tun Seri Lanang dengan kitab Salatus Salatin, Raja Ali Haji dengan Gurindam 12 dan Usman Awang melalui puisi-puisinya, mereka ini adalah tokoh yang selalu mengangkat tema manusiawi dengan menekankan aspek kesederhanaan, memelihara budaya serta perpaduan.
"Tiga tokoh ini adalah pedoman yang harus dijadikan penebat untuk menghalang kemasukan fikrah-fikrah tidak wajar dan ekstremisme ke negeri Johor ini," tegasnya lagi.
Selain itu, Fadhlina turut mengimbas sekolah pertama dilawatinya di negeri Johor sebaik dilantik sebagai Menteri Pendidikan adalah di Pulai ini.
Kata beliau, lawatan pertama itu dilakukan atas permintaan Ahli Parlimen Pulai sebelum ini, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.
"Ini menunjukkan Allahyarham adalah seorang pemimpin yang sentiasa mempunyai sifat rahmah terhadap murid-murid dan masa depan pendidikan mereka," jelas beliau lagi.
Comentarios