
Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Fadhlina Sidek mengharapkan yang terbaik daripada 9 calon Wanita KEADILAN yang diturunkan dalam pilihan Raya Negeri kali ini.
Katanya, semua calon Wanita KEADILAN telah melepasi penamaan calon dan tugas berat menanti mereka untuk menentukan semua kerusi yang dipertandingkan supaya menang pada 12 Ogos ini.
"Untuk semua calon Wanita KEADILAN yang sudah selesai proses penamaan calon di Dun masing-masing, saya iring perjuangan kalian dengan doa supaya diberi kekuatan, keikhlasan dan kesabaran selama tempoh berkempen.
"Akan bertembung pelbagai mehnah, ujian dan cabaran, hadapilah dengan ikhtiar, doa dan tawakal.
"Teguhkan tekad, gerakkan jentera, Wanita KEADILAN mesti menang," katanya.
Wanita KEADILAN menurunkan 9 calon kali ini mewakili DUN Ampangan, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman; DUN Pilah, Noorzunita Begum Mohd Ibrahim; DUN Jitra, Sabrina Ahmad; DUN Sungai Bakap, Nurhidayah Che Rose; DUN Pasir Tumboh, Naziratul Aini Muhamad Sayuti; DUN Hulu Kelang, Juwairiya Zulkifli; DUN Bukit Lanjan, Pua Pei Ling; DUN Sementa, Erny Afrishah Azizi dan DUN Manir, Eka Lisut.
Fadhlina hari ini mengiringi calon DUN Sungai Bakap, Nurhidayah Che Rose dan mendoakan kemenangan beliau di DUN berkenaan.