Ketua Penerangan Pas hilang semangat patriotik - AMK Selangor
- Suara Keadilan

- Aug 1
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor mengecam keras hantaran media sosial Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang secara terbuka menyindir peranan rasmi Malaysia dalam meredakan ketegangan di antara Thailand dan Kemboja.
Menerusi satu kenyataan, AMK Selangor menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Pasir Mas itu secara terang-terangan mencemarkan imej negara, memperlekeh usaha diplomatik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan.
AMK Selangor juga melihat hantaran tersebut berpotensi mencemarkan imej negara di peringkat serantau dan antarabangsa.
"Malaysia kini mempengerusikan ASEAN dan memainkan peranan penting sebagai pemudah cara bagi meredakan konflik sempadan yang berlaku.
"Hantaran tidak bertanggungjawab Fadhli Shaari mencerminkan sikap tidak patriotik serta kurang kesedaran terhadap tanggungjawab negara sebagai ahli komuniti antarabangsa
"Ia dibimbangi akan menyemai budaya politik kebencian yang melampau dalam kalangan masyarakat khususnya kalangan anak muda," kata AMK Selangor dalam satu kenyataan.
Sebagai respons terhadap penghinaan itu, AMK Selangor memaklumkan bahawa pihak mereka telah membuat laporan polis terhadap Ahmad Fadhli dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya.
AMK Selangor turut mengajak rakyat Malaysia, khususnya anak muda menolak politik fitnah dan kebencian.
"Marilah kita bersama mempertahankan imej negara. Usaha kerajaan dalam memastikan keamanan dan kestabilan serantau wajar dihargai," tambahnya.









Comments