Ketua Penerangan KEADILAN NS diberhentikan tugas
- Redzuan Shamsudin
- Sep 9, 2021
- 1 min read

Ketua Penerangan KEADILAN Negeri Sembilan, Yusop Tapar ditamatkan jawatan beliau sebagai salah seorang ahli Majlis Pimpinan Negeri (MPN).
Surat penamatan tugas tersebut ditandatangani sendiri oleh Pengerusi MPN, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Dipetik Media Rania, Aminuddin yang merujuk kepada perkembangan mutakhir dan kenyataan media secara terbuka yang dibuat oleh Yusop pada 5 September 2021, memutuskan kedudukan Yusop sebagai Ketua Penerangan tidak wajar dikekalkan.

"Selari dengan perlembagaan parti, surat tersebut dikemukakan kepada Yusop untuk memaklumkan bahawa tugasnya selaku Ketua Penerangan ditamatkan berkuatkuasa dari tarikh surat berkenaan diserahkan.
"Surat pemberhentian tersebut diserahkan melalui dua kaedah, menerusi kiriman WhatsApp dan secara kendiri," katanya.
Jelas Menteri Besar Negeri Sembilan tersebut, beliau mewakili kepimpinan MPN negeri mengucapkan terima kasih di atas khidmat Yusop selama beliau menjalankan tugasnya
Jawatan tersebut kini kosong dan dijangka akan diisi dalam masa terdekat setelah mesyuarat bulanan MPN yang dijadualkan hujung bulan ini.
Pada 5 September lalu, Yusop mengetuai sekelompok pimpinan parti mengadakan sidang media mempersoalkan kepimpinan Aminuddin selaku Pengerusi MPN.
Turut hadir pada sidang media berkenaan ialah ADUN Labu, Ismail Ahmad dan bekas calon Pilihan Raya Kecil Rantau, S Streram.
Comments