top of page

Ketua Penerangan Bersatu kecam Fahmi selepas didesak letak jawatan?

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
Feb 11, 2024
2 min read


Kecaman Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris ke atas Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil kerana kononnya tidak menghormati ketokohan bekas Perdana Menteri (PM) Muhyiddin Yassin yang dikatakan amat berpengalaman dalam politik hanyalah umpama 'tin kosong'.


Menurut Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, Razeef Rakimin, teguran Razali itu hanya kosong kerana tidak disertakan sebarang bukti menunjukkan Fahmi telah terkhilaf apabila menyatakan Muhyiddin membuat berita palsu dalam kenyataannya mengulas isu penghakiman Mahkamah Persekutuan ke atas petisyen Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid  pada Jumaat lalu.


"Beliau mendakwa Fahmi sebagai 'bermulut celupar' kerana menegur bekas PM itu yang mendakwa susulan keputusan mahkamah berkait enakmen syariah Kelantan, perbuatan yang bertentangan dengan hukum Islam tidak lagi menjadi kesalahan di Kelantan.


"Ini jelas satu fitnah kerana undang-undang Persekutuan memperuntukkan hukuman yang jauh lebih berat berbanding hukuman syariah Kelantan.


"Razali juga melabel Fahmi sebagai Menteri 'setahun jagung' selain memuji tinggi Muhyiddin dengan mengatakan bekas Perdana Menteri itu ialah mantan Perdana Menteri, mantan Timbalan Perdana Menteri dan mantan Menteri Besar serta beberapa portfolio menteri kabinet serta memuji Muhyiddin sebagai seorang yang sangat dihormati, berprinsip, integriti, benar dan berani.


"Namun dalam kenyataan Razali, beliau tidak memberi sebarang hujah apa yang dinyatakan Muhyiddin itu sebagai benar bagi menepis teguran Fahmi, sebaliknya hanya memarahi Fahmi dan memuji Muhyiddin," ujar Razeef dalam kenyataan petang ini.


Razeef secara sinis, sebaliknya mengandaikan Razali mungkin terpaksa bersuara sekeras itu selepas beberapa desakan dari akar umbi dan laskar siber Perikatan Nasional sendiri yang mahu beliau meletakkan jawatan sebagai Ketua Penerangan kerana kurang menyerlah sebagaimana diharapkan.


"(Oleh itu) saya mencabar Razali untuk mengulangi kenyataan Muhyiddin, bahawa menawarkan perkhidmatan maksiat, berkhalwat, sumbang mahram dan minum arak tidak lagi menjadi kesalahan bagi umat Islam di negeri Kelantan.


"Jangan hanya tahu berbunyi seperti tin kosong hanya untuk menyelamatkan tengkuk sendiri sahaja," sindirnya lagi.


Razali dalam laporan media pagi ini menyelar Fahmi selepas Menteri itu mengklasifikasikan kenyataan Muhyiddin sebagai berita palsu. Bagaimanapun Razali tidak pula membuktikan kenyataan Muhyiddin tersebut sebagai benar dan boleh dipertanggungjawabkan sesuai dengan 'pengalaman luas' pemimpin Bersatu itu di dalam politik.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page