top of page

Ketua Pemuda Pas tersasar: Isu Titah Adendum sudah dijawab mahkamah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Dec 23, 2025
  • 2 min read

Pengerusi Biro Undang-Undang AMANAH (KANUN), Dr Zulqarnain Lukman (gambar) menegaskan bahawa dakwaan Ketua Pemuda Pas yang mempertikai integriti Peguam Negara berhubung isu Titah Adendum adalah mengelirukan serta tidak berasaskan kefahaman undang-undang yang tepat.


Menurut beliau, perkara yang dibangkitkan Ketua Pemuda Pas itu, mendakwa Peguam Negara menyembunyikan Titah Adendum sebenarnya telah pun diperincikan dan dijawab secara jelas oleh Hakim Alice Yoke dalam penghakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.


"Apa yang disebut oleh Ketua Pemuda Pas ini sudah diulas oleh Hakim Alice Yoke dalam penghakimannya. Titah Adendum itu datang kemudian. Nama pun adendum. Kalau tidak faham istilah addendum, dalam bahasa Inggeris ia dipanggil supplementary," katanya dalam satu kenyataan media.


Dr Zulqarnain menjelaskan bahawa Titah Adendum secara sifatnya hanya wujud selepas sesuatu keputusan asal dibuat, justeru mustahil untuk dibentangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang telah pun selesai.


"Macam perbahasan bajet. jika supplementary budget maka ianya ada RUU baharu untuk menambahkan perbelanjaan kerajaan dek kerana duit yang digunakan untuk perbelanjaan dalam akta perbekalan asal itu tidak cukup," jelasnya.


Beliau mempersoalkan logik dakwaan bahawa Titah Addendum sengaja disorokkan, sedangkan mesyuarat Lembaga Pengampunan ketika itu telah berakhir.


"Jadi macam mana nak bawa Titah Addendum ke dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang telah selesai?


"Jika mahu dibawa ke Lembaga Pengampunan yang lain, maka perlu dibuat permohonan baharu kerana Pengerusi Lembaga Pengampunan ketika itu sudah melibatkan Yang di-Pertuan Agong yang baharu," katanya.


Sehubungan itu, Dr Zulqarnain menasihatkan agar pimpinan parti politik lebih berhati-hati dan berhemah sebelum mengeluarkan kenyataan rasmi, apatah lagi melibatkan isu perundangan yang kompleks.


"Sebelum mengeluarkan kenyataan mewakili parti yang mempunyai 43 orang Ahli Parlimen, perlulah lebih berhemah kerana ia melibatkan fakta dan undang-undang. Ini bukan soal tabur peluru seperti dalam Dewan Rakyat," tegas beliau.


Tambahnya lagi, persoalan mengenai integriti Peguam Negara juga bukan isu baharu dan telah dibincangkan secara tuntas dalam penghakiman kes THE ATTORNEY GENERAL OF MALAYSIA v. DATO’ SRI MOHD NAJIB TUN HAJI ABDUL RAZAK & ANOTHER APPEAL [2025] 6 MLRA 155.


"Maka eloklah membaca alasan penghakiman penuh sebelum membuat kenyataan sebegini agar tidak mengelirukan rakyat," katanya.


Dr Zulqarnain menegaskan bahawa perbahasan politik tidak seharusnya mengabaikan asas perundangan, kerana tindakan sedemikian hanya mencetuskan kekeliruan serta menjejaskan kefahaman awam terhadap sistem keadilan negara.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page