
Skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diusul untuk dibahas dalam sidang Parlimen sesi Mac.
Menurut Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, skandal tersebut amat perlu dibincangkan kerana telah didedahkan secara meluas melalui laporan perbicaraan di mahkamah New York, Amerika Syarikat.
"Saya telah mengemukakan suatu usul kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
""Bahawa Dewan yang bersidang pada hari ini membincangkan pembongkaran melalui keterangan mantan Pengerusi Goldman Sachs Group Inc Asia Tenggara, Tim Leissner di Mahkamah Amerika Syarikat mengenai amalan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan institusi Malaysia khasnya Bank Negara Malaysia berentetan daripada skandal 1MDB”
"1MDB adalah perkara yang memerlukan perhatian dan perbahasan terperinci serta menyeluruh kerana melibatkan kepentingan orang ramai," katanya.
Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi, perbahasan tersebut juga perlu disegerakan kerana perbincangannya di media antarabangsa dan memberi gambaran terhadap sistem pentadbdiran dan perundangan Malaysia di mata dunia.
"Pembongkaran kes terdedah ke peringkat antarabangsa dan memerlukan penjelasan segera kerajaan berikutan kegagalan agensi penguatkuasa negara khasnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan, menyiasat dan mendakwa mana-mana warganegara Malaysia jika terbabit dalam apa-apa kesalahan transaksi kewangan tersebut.
"Saya berharap usul ini mendapat pertimbangan sewajarnya dari Yang di-Pertua Dewan Rakyat," katanya lagi.