top of page

Ketua Pembangkang: 'Tahniah Dr Samsuri pegang jawatan paling singkat'

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 20 hours ago
  • 2 min read

Ketua Penerangan KEADILAN Melaka, Eddiarman Mohd Yunus berkata, tempoh singkat Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Ketua Pembangkang sebelum digantikan semula oleh Datuk Seri Hamzah Zainuddin mencerminkan ketidakpastian dalam percaturan kepimpinan Perikatan Nasional (PN).


Eddiarman secara sinis mengucapkan tahniah kepada Pas sambil menyifatkan, parti itu telah mencipta satu lagi rekod politik apabila Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Dr Samsuri hanya memegang jawatan tersebut dalam tempoh tidak sampai sebulan.


"Tahniah 'diucapkang' kepada Pas-PN kerana berjaya mencipta satu lagi rekod baharu dalam politik negara apabila berjaya melahirkan antara Ketua Pembangkang (Ahmad Samsuri) yang paling singkat (tak sempat berjuang) dalam sejarah Parlimen Malaysia.


"Pada masa yang sama, saya juga ingin 'mengucapkang' takziah kepada Ahmad Samsuri kerana 'kepercayaang' yang diberikan kepada beliau ternyata tidak mampu bertahan lama.


"Tahniah juga kepada Datuk Seri Hamzah Zainuddin atas pelantikan semula beliau sebagai Ketua Pembangkang," katanya dalam satu kenyataan.


Perkembangan itu menurut Eddiarman telah menimbulkan pelbagai tafsiran mengenai kedudukan Dr Samsuri yang juga Naib Presiden Pas dalam hierarki kepimpinan gabungan berkenaan.

Eddiarman Mohd Yunus
Eddiarman Mohd Yunus

Katanya, sebelum ini pimpinan Pas sendiri (Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man) pernah menjelaskan bahawa pelantikan Ahmad Samsuri sebagai ketua pembangkang bukan petanda beliau bakal poster boy atau calon Perdana Menteri.


"Kini beliau juga tidak lagi memegang jawatan sebagai Ketua Pembangkang. Maka persoalannya, di manakah sebenarnya kedudukan politik Ahmad Samsuri dalam hierarki Pas-PN?


"Cuba kita bayangkan, jika jawatan Ketua Pembangkang pun mereka boleh berubah secepat itu, bagaimana rakyat boleh meyakini kemampuan mereka untuk mentadbir sebuah negara yang jauh lebih kompleks dan besar ini?" tanyanya.


Tegas beliau, rakyat seharusnya mendapatkan jawapan tuntas sebelum memberi undi kepada PN yang semakin carca marba dalam membuat keputusan berhubung pentadbiran gabungan pembangkang.


"Rakyat berhak mendapat jawapan kerana apa yang sedang dipertontonkan bukanlah gambaran sebuah gabungan yang bersedia mentadbir Malaysia, sebaliknya sebuah gabungan yang masih gagal memutuskan siapa yang sepatutnya memimpin gabungan mereka sendiri," tempelak beliau lagi.


Untuk rekod, Dr Samsuri dilantik sebagai Ketua Pembangkang pada 16 Mei lalu dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN, tidak sampai sebulan kemudian beliau digantikan dengan Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada 13 Jun 2026.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page