Ketua Pembangkang paling singkat jejas kredibiliti Dr Samsuri, Pengerusi PN
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Keputusan Presiden Pas, Hj Hadi Awang untuk mengembalikan jawatan Ketua Pembangkang kepada Datuk Seri Hamzah Zainudin mencetuskan persoalan terhadap kedudukan dan kewibawaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam gabungan PN.
Aktivis Pakatan Harapan Terengganu, Awang Muda berkata, tempoh singkat Dr Samsuri sebagai Ketua Pembangkang yang dilantik pada 16 Mei lalu dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN, kemudian digantikan pada 13 Jun menimbulkan persepsi negatif terhadap kepimpinan beliau di peringkat nasional.
"Apa yang lebih memeranjatkan, tempoh Dr Samsuri sebagai Ketua Pembangkang dilihat sebagai yang paling singkat dalam sejarah politik negara.
"Beliau belum pun sempat memimpin blok pembangkang menghadapi sidang Dewan Rakyat yang dijadualkan bermula pada 22 Jun, namun kedudukannya sudah berubah," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Awang, perkembangan itu membuka ruang kepada tanggapan bahawa pelantikan tersebut bukan berasaskan keyakinan terhadap kemampuan Dr Samsuri, sebaliknya keputusan sementara yang boleh diubah mengikut kehendak kepimpinan tertinggi Pas.
Tambahnya, tindakan itu turut mengukuhkan tanggapan bahawa Dr Samsuri yang disebut sebut sebelum ini sebagai calon Perdana Menteri PN tidak mempunyai autonomi politik yang mencukupi dalam menentukan kedudukannya sendiri dalam gabungan tersebut.
"Kritikan yang timbul ialah Dr Samsuri dilihat sekadar mengikut telunjuk Presiden Hj Hadi Awang tanpa keberanian untuk mempertahankan mandat dan peranan yang telah diberikan kepadanya.
"Persepsi sebagai "pak turut" atau boneka politik bukan sahaja mencalarkan imej peribadinya, malah menimbulkan persoalan sama ada beliau benar-benar mempunyai pengaruh dalam menentukan hala tuju PN atau sekadar melaksanakan kehendak pihak lain," katanya.
Dalam masa sama, Awang berkata perkembangan itu berpotensi menimbulkan kekecewaan dalam kalangan pengundi di Kemaman, kawasan yang diwakili Samsuri.
"Mereka memilih Dr Samsuri dengan harapan beliau mampu membawa suara Kemaman ke peringkat nasional dengan pengaruh yang lebih besar.
"Namun, episod kehilangan jawatan Ketua Pembangkang dalam tempoh yang terlalu singkat boleh menimbulkan persepsi bahawa standard kepimpinan wakil rakyat Kemaman telah merosot," katanya.
Menurut Awang lagi, walaupun penyokong mungkin berpendapat jawatan bukan ukuran utama, persepsi dalam politik tetap memainkan peranan penting terhadap keyakinan rakyat.
"Tempoh kepimpinan yang terlalu singkat, ketidakmampuan mempertahankan kedudukan, serta gambaran bahawa keputusan akhir ditentukan oleh tokoh lama parti, berisiko menjadikan naratif pembaharuan yang cuba dibawa melalui Dr Samsuri semakin sukar diyakini," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan episod berkenaan sebagai ujian terbesar terhadap imej Dr Samsuri sebagai pemimpin masa depan parti.
"Persoalan yang kini bermain dalam fikiran ramai ialah sama ada beliau benar-benar seorang pemimpin nasional yang mempunyai autoriti sendiri, atau sekadar wajah baharu kepada budaya politik lama yang masih dikawal oleh bayang-bayang kepimpinan veteran," katanya lagi.
Untuk rekod, kelmarin Hj Hadi mengumumkan Hamzah kembali menjadi Ketua Pembangkang bagi blok PN.
"Kita mendapat suara daripada ahli-ahli Parlimen, bukan Pas sahaja. Maka, Pas membuat keputusan bersetuju meneruskan Datuk Seri Hamzah sebagai Ketua Pembangkang," kata beliau dipetik ketika mengumumkan di Konvensyen Reset Malaysia di Kota Harmoni, Tanah Merah.




Comments