Ketua Pembangkang: Hj Hadi atau pemimpin PN kuasa pemutus?
- Akmal Manaf

- 1 hour ago
- 2 min read

Rentetan ‘pertukaran’ Ketua Pembangkang daripada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kepada Datuk Seri Hamzah Zainudin menimbulkan tanda tanya sama ada kuasa sebenar dalam PN terletak pada pemegang jawatan rasmi atau pihak lain yang menentukan keputusan penting gabungan itu.
Ketua Penerangan KEADILAN Terengganu, Aiman Wan Alias berkata, hal yang menarik perhatian ialah tempoh Dr Samsuri memegang jawatan sebagai Ketua Pembangkang tidak sampai sebulan sebelum berlaku pertukaran kepimpinan.
Lebih mengejutkan katanya, perubahan tersebut diumumkan dalam program politik oleh Presiden Pas Hj Hadi Awang dan bukannya kepimpinan PN, juga tanpa penjelasan yang menyeluruh kepada rakyat.
"Saya melihat perkembangan ini menimbulkan persoalan tentang struktur kepimpinan pembangkang dan siapa sebenarnya yang mempunyai kuasa membuat keputusan dalam gabungan tersebut?

"Sebelum ini, ada pihak yang mengangkat Dr Samsuri sebagai calon Perdana Menteri dari PN, namun episod itu menimbulkan persoalan sama ada beliau benar-benar mempunyai pengaruh yang kuat dalam gabungan tersebut atau sekadar melaksanakan keputusan yang ditentukan oleh pihak lain," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau berkata demikian ketika mengulas isu pertukaran Ketua Pembangkang antara Ahmad Samsuri dan Hamzah serta dakwaan yang menimbulkan persepsi bahawa hala tuju PN lebih banyak dipengaruhi oleh kepimpinan Pas berbanding pimpinan gabungan tersebut.
Menurut Aiman lagi, dalam dunia politik, jawatan semata-mata tidak mencerminkan kuasa sebenar kerana rakyat akan menilai siapa yang membuat keputusan, menentukan hala tuju dan siapa mempunyai pengaruh dalam sesebuah gabungan.
Katanya, kedudukan penting PN yang diumumkan oleh Hj Hadi menimbulkan tanda tanya mengenai kestabilan gabungan berkenaan, dan apakah sekiranya PN memerintah negara maka keputusan penting akan dibuat oleh Perdana Menteri di Putrajaya ataupun orang lain.
"Jika kedudukan pemimpin utama boleh berubah dalam tempoh yang begitu singkat, ia sudah tentu menimbulkan persoalan tentang kestabilan, kejelasan struktur kepimpinan dan kesediaan pembangkang untuk menawarkan alternatif pentadbiran yang meyakinkan kepada rakyat.
"Sebab itu, isu ini bukan sekadar soal siapa menjadi Ketua Pembangkang, tetapi soal keyakinan rakyat terhadap keutuhan dan kestabilan kepimpinan pembangkang secara keseluruhannya," ujar Aiman lagi.
Pada 13 Jun lalu, Presiden Pas, Hj Hadi Awang mengumumkan Hamzah kembali menggalas tugas sebagai Ketua Pembangkang.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, Pas dan Gerakan Reset membuat keputusan tersebut bagi memastikan kesinambungan kepimpinan pembangkang di bawah struktur sedia ada, selain mengekalkan kestabilan kerjasama antara parti-parti dalam blok berkenaan.
Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas mengambil alih jawatan Pengerusi PN pada Februari lalu selepas Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, melepaskan jawatan tersebut.
Beliau sebelum ini menggantikan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang pada bulan lalu. Manakala gerakan Riset yang diketuai oleh Hamzah belum menjadi sebahagian daripada PN secara rasmi kerana gabungan itu hanya menerima parti politik sebagai komponen.




Comments