Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia menolak percubaan untuk mengadu-domda sesama pimpinan pergerakan itu berhubung isu mesej dalaman yang tular kelmarin.
Ketua-ketua AMK bersependapat isu tersebut perlu diselesaikan secara berhemah menerusi saluran dalaman parti.
"Kami percaya perkara ini akan dapat diharmonikan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan AMK (MPAMK) Malaysia yang melibatkan semua kepimpinan AMK bersama Ketua-Ketua AMK Negeri.
"Justeru, kami menyeru agar semua kepimpinan dan anggota AMK Malaysia di semua peringkat supaya bertenang dan berlaku adil serta memberikan ruang sewajarnya kepada kepimpinan untuk menjernihkan keadaan.
"Kami juga menolak sebarang agenda cuba menangguk di air keruh untuk melaga-lagakan anggota mahupun kepimpinan serta mengecam perbuatan membocorkan perbincangan tertutup sehingga mencetuskan suasana tidak menentu dalam parti," kata kenyataan berkenaan.
Kenyataan terbabit turut mengulangi sokongan padu tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden KEADILAN dan usaha beliau membina Malaysia yang lebih baik serta mensejahterakan rakyat.
"Tiada asas kukuh untuk mempertikaikan kesetiaan kepimpinan AMK Malaysia terhadap pucuk pimpinan parti setelah kesetiaan ini dibuktikan menerusi komitmen AMK mempertahankan prinsip dan idealisme daripada agenda pengkhianatan yang lalu.
"Kami menyeru agar seluruh anggota AMK merapatkan saf dan mengukuhkan gerak kerja agar AMK tampil menjadi sayap terkuat parti dalam menjayakan agenda Reformasi," kata kenyataan itu lagi.
Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Ketua AMK Negeri Selangor Mohd Najwan Halimi, Ketua AMK Negeri Perlis Azam Karap, Ketua AMK Wilayah Persekutuan P Prabakaran, Ketua AMK Negeri Sabah Raymond Ahuar, Ketua AMK Negeri Sarawak Saifunnizam Sam, Ketua AMK Negeri Kedah Mohamed Firdaus Johari, Ketua AMK Negeri Johor R Yuneswaran, Ketua AMK Negeri Melaka Prasanth Kumar Brakasam, Ketua AMK Negeri Kelantan Muhd Hafiz Muhd Kasasi, Ketua AMK Pulau Pinang Fahmi Zainol, Ketua AMK Negeri Perak Mohamad Hairul Amir Sabri, Ketua AMK Negeri Pahang Mohd Mustaqim Abdul Jalil, Ketua AMK Negeri Sembilan Mohd Hafiz Mohamad, Ketua AMK Negeri Terengganu Nazhan Zulkifli Amin.
Comentarios