Ketua KEADILAN Cabang Dungun yang juga Pegawai Khas Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Abd Rahman Yusof disahkan meninggal dunia pada usia 64 tahun.
Anaknya, Muhsin Abd Rahman memaklumkan bahawa Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya di ICU Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Kuala Lumpur.
Sebelum ini, Allahyarham dimasukkan ke hospital kerana menghidap kanser paru-paru.
"Setelah 6 Bulan bertarung dengan kanser peparu stage 4, Allahyarham tidak pernah putus asa dengan rahmat Allah. Alhamdulillah, Allahyarham pergi dengan penuh ketenangan.
"Ya Allah, ampunilah dosanya (Abd Rahman Yusof), angkatlah darjatnya di tengah-tengah kaum yang mendapat hidayah, berilah dia penggantinya di dalam orang-orang yang ditinggalkan sesudahnya, ampunilah dosa-dosa kami dan dosanya, wahai Tuhan semesta alam, lapangkanlah kuburnya dan sinarilah cahaya dia di dalamnya.
"Sesungguhnya kami menjadi saksi Allahyarham adalah seorang yang soleh dan suka menyambung silaturrahim," katanya.
Muhsin juga berkata, Allahyarham selalu membantu orang yang dalam kesusahan dan orang yang memerlukan.
"Semoga Allah menerima amal-amal soleh Allahyarham dan moga ia terus berterusan. Semoga Allah menempatkan Allahyarham bersama kekasihNya di dalam Syurga.
"Jika ada yang mengenali Allahyarham, mohon maafkan segala salah silapnya, halalkan makan minumnya dan jika ada hutang boleh hubungi kami warisnya," katanya.
Allahyarham Abdul Rahman juga merupakan mantan Ahli Parlimen Kemaman (1999 - 2004) menang di kawasan tersebut pada Pilihan Raya Umum 1999 atas gelombang Reformasi ketika Parti Keadilan Nasional bergabung bersama DAP dan Pas dalam Barisan Alternatif.
Comments