Ketua Hakim Negara: Kerajaan telus, propaganda pembangkang tidak menjadi
- Suara Keadilan
- 1 hour ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Ketelusan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi sasaran tohmahan tidak berasas susulan isu pelantikan Ketua Hakim Negara terserlah dengan membenarkan peguam berdemonstrasi di atas isu berkenaan dan Mesyuarat Majlis Raja Raja diadakan bagi memperhalusi pelantikan dalam institusi kehakiman.
Bagi Aktivis Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Mohd Hisyamuddin Ghazali (gambar), ketika ini jelas Kerajaan MADANI berpegang kepada prinsip pengasingan kuasa dalam sistem demokrasi berperlembagaan.
''Ini yang diperjuangkan oleh Pakatan Harapan terutamanya KEADILAN. Viral di media sosial kononnya PMX (Anwar) campur tangan dalam pelantikan Ketua Hakim Negara.
''Hari ini (kelmarin) semua terjawab, nama Tan Sri Ahmad Terriruddin Mohd Salleh (yang dikhuatiri pembangkang), Hakim Mahkamah Persekutuan tiada dalam senarai pun.
''Akhirnya semalam para peguam gembira dapat makan aiskrim di perkarangan pejabat Perdana Menteri. Terbaik PMX!
''Sia-sia semua plan ‘havoc’ pemimpin parti pembangkang Perikatan Nasional (PN) iaitu Pas dan Bersatu untuk mendesak 'Turun Anwar' pada 26 Julai nanti,'' katanya yang juga dikenali sebagai Syam Ghaz dalam satu muat naik di Facebook.
Sebelum ini, menurut Syam Ghaz, tular didakwa minit mesyuarat 'bocor' Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) bertarikh 16 Mei lalu yang dipengerusikan oleh mantan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
Mesyuarat tersebut kata Syam adalah untuk membincangkan pelantikan Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Malaya, bukannya calon Ketua Hakim Negara seperti yang didakwa sesetengah pihak.
''Lagipun tiada siapa mengesahkan, adakah minit mesyuarat itu benar atau tidak, dan jika benar, kenapa hanya berberapa muka surat sahaja, mana muka surat yang lain?
''Yang menyebarkannya berniat jahat! Ingin memburukan nama baik PMX!,'' tempelak beliau.
Isu pelantikan Ketua Hakim Negara yang baharu dijangka selesai hari ini selepas Majlis Raja Raja membincangkannya.