top of page

Ketua Hakim Negara: Bukti sistem kehakiman kekal bebas - PM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 18, 2025
  • 2 min read

DS Anwar ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Istiqlal, Presint 14, Putrajaya
DS Anwar ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Istiqlal, Presint 14, Putrajaya

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pelantikan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu jelas menunjukkan sistem kehakiman negara ini kekal bebas dan tiada sebarang unsur campur tangan.


Perdana Menteri berkata pelantikan tersebut dilakukan melalui proses yang telus termasuk dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja.


"Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ini dengan sendirinya membuktikan bahawa pertamanya proses berjalan baik, kita tunduk kepada prinsip Perlembagaan Persekutuan Perkara 122B, ini berbeza dengan tohmahan yang berlaku sebelum ini.


"Jadi saya harap dengan penjelasan ini dan keputusan baik Majlis Raja-Raja yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong padamlah fitnah dan keluh-kesah yang berlaku sebelum ini, berminggu-minggu dikecam dan difitnah," katanya dipetik kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Istiqlal, Presint 14, Putrajaya hari ini.


Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia dalam Facebook Badan Kehakiman Malaysia, tengah malam tadi mengumumkan Yang di-Pertuan Agong memberikan perkenan pelantikan Wan Ahmad Farid sebagai Ketua Hakim Negara atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.


Wan Ahmad Farid, 63, menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara wajib pada usia 66 tahun pada 1 Julai lalu.


Kenyataan yang sama turut memaklumkan pelantikan Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, menggantikan penyandang yang bakal menamatkan perkhidmatan.


Majlis angkat sumpah serta penyerahan watikah pelantikan dijadualkan berlangsung pada 28 Julai di Istana Negara dengan disaksikan oleh Sultan Ibrahim.


Perdana Menteri memberitahu nama Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh tidak pernah diusulkan bagi jawatan dilantik sebagai Ketua Hakim Negara atas faktor usia dan tempoh perkhidmatan sedia ada yang masih panjang lagi.


"Ada kononnya nama-nama yang ditonjolkan, saya boleh sebutlah Terrirudin, bekas Peguam Negara yang banyak menjalankan tugas dengan cemerlang dan sekarang Hakim Mahkamah Persekutuan.


"Tetapi kerana beliau punya banyak tahun lagi (perkhidmatan), nama beliau tidak pernah pun diusulkan.


"Jadi dari mana (timbul tohmahan)? Hanya dari sebaran daripada kalangan tokoh tokoh peguam yang berpolitik. Saya tidak fikir ini gesaan daripada semua. Jadi saya harap dengan ini menjernihkan keadaan," ujarnya.


Selain itu, kata Anwar sistem kehakiman negara kekal utuh apabila tiada hakim dibuang atau dirujuk kepada tribunal atau sebarang keputusan mahkamah diganggu dalam proses penghakiman atau arahan diberikan kepada hakim tertentu.


"Penjelasan ini diharap dapat menamatkan fitnah dan spekulasi yang berlarutan selama berminggu-minggu sebelum ini.


"Saya gesa semua pihak untuk berhenti membuat tuduhan melulu tanpa fakta, harus wujud kesabaran dan kebijaksanaan dalam menangani isu kehakiman tanpa dipengaruhi permusuhan politik," ujar Anwar.


Dalam pada itu, beliau merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan Ketua Hakim Negara yang baharu.


"Jadi saya ucap alhamdulillah. Tahniah kepada Ketua Hakim Negara yang baharu," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page