top of page

Dewan Negara lulus RUU Perbekalan Tambahan (2025) 2026

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 1 min read

Dewan Negara pasa Selasa meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2025) 2026 bagi perbelanjaan tambahan mengurus berjumlah RM8.4 bilion daripada Kumpulan Wang Disatukan.


Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (gambar) membentangkan RUU itu sebelum diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan 17 Ahli Senator.


Menurut Amir Hamzah, daripada RM8.4 bilion perbelanjaan tambahan mengurus, RM7.9 bilion dibentangkan untuk kelulusan di bawah RUU Perbekalan Tambahan 2025, manakala sejumlah RM472 juta adalah bagi maksud Tanggungan dan tidak dibahaskan.


"Walaupun jumlah perbelanjaan mengurus sebenar 2025 adalah lebih rendah berbanding peruntukan asal yang diluluskan pada tahun 2025, terdapat beberapa kementerian yang memerlukan peruntukan yang melebihi jumlah asal yang diluluskan.


"Anggaran Perbelanjaan Mengurus Tambahan Pertama 2025 sebanyak RM8.4 bilion disediakan bagi menampung tujuan tersebut dan jumlah tambahan ini telah termasuk dalam perbelanjaan mengurus sebenar tahun 2025 yang berjumlah RM330.8 bilion, iaitu masih di bawah peruntukan mengurus asal yang diluluskan tahun 2025 yang berjumlah RM335 bilion," katanya dipetik.


Terdahulu, ketika penggulungan perbahasan bagi RUU tersebut beliau berkata, jumlah peruntukan tambahan itu telah dibelanjakan sepenuhnya pada 2025 dan ia tidak menjejaskan sasaran defisit fiskal yang ditetapkan pada tahun 2025 iaitu pada kadar 3.8 peratus.


Tambahnya, untuk dua tahun berturut-turut, Kerajaan MADANI berjaya mengatasi sasaran defisit fiskal, yang mencatat 3.7 peratus pada 2025 berbanding unjuran asal 3.8 peratus.


"Pencapaian itu menunjukkan bahawa pengurusan kewangan negara semakin berdisiplin dan berkesan.


"Trend penurunan defisit ini memberi isyarat positif terhadap kestabilan fiskal jangka sederhana dan indikator makroekonomi yang kukuh turut memberi manfaat kepada rakyat, khususnya kadar pengangguran 2025 pada 2.9 peratus iaitu terendah lebih sedekad serta kadar inflasi yang rendah pada 1.4 peratus pada 2025," tambahnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page